PRK Kinabatangan: BN perlu elak terlalu bergantung pemimpin pusat, kata penganalisis

PRK Kinabatangan: BN perlu elak terlalu bergantung pemimpin pusat, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata kepimpinan negeri perlu diberi ruang untuk mengendalikan sepenuhnya gerak kerja pilihan raya.

Menurut penganalisis, Ketua Pemuda Umno Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar dilihat mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerusi Kinabatangan pada PRK 24 Jan depan kerana pengundi menghargai jasa bapanya, Bung Moktar Radin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) perlu cermat dalam mengatur strategi kempen bagi mempertahankan kerusi Kinabatangan pada PRK 24 Jan depan dan tidak terlalu bergantung kepada kehadiran pemimpin pusat, kata penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kepimpinan negeri perlu diberi ruang untuk mengendalikan sepenuhnya gerak kerja pilihan raya bagi memastikan kemenangan calonnya, Mohd Naim Kurniawan Moktar pada pilihan raya itu.

“Lebih baik Umno Sabah sahaja yang berkempen sekiranya ada pertandingan, kerana naratif pemimpin dari Semenanjung mungkin tidak sesuai dengan konteks politik Sabah.

“Ia perlu dilokalkan terlebih dahulu,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, ketua Pemuda Umno Kinabatangan itu mungkin mempunyai kelebihan di kerusi berkenaan kerana berpeluang meraih undi simpati daripada pengundi yang menghargai jasa bapanya, Bung Moktar Radin sepanjang beberapa penggal menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Katanya, faktor legasi Bung yang kuat memberi kelebihan awal kepadanya, khususnya dalam kalangan pengundi setia Umno yang masih berpegang kepada hubungan peribadi dan sejarah perkhidmatan wakil rakyat.

“Walaupun laluan BN nampak mudah, namun ia juga tidak boleh leka dengan kemungkinan berdepan calon Bebas yang berhasrat mencabarnya di kerusi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis UMS, Syahruddin Awang Ahmad mengingatkan BN agar tidak memandang rendah potensi calon bebas atau parti kecil yang boleh memecahkan undi.

Katanya, ia penting untuk gabungan itu menekankan keperluan menggerakkan jentera secara agresif untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

“Dengan memilih Naim, BN secara halus mengirimkan isyarat bahawa ’empayar’ politik Bung belum berakhir, malah sedang melalui proses peremajaan parti.

“Ini adalah gerakan catur yang sangat sistematik bagi memastikan kubu paling kebal Umno di Borneo ini tidak terlepas ke tangan pihak lawan. Naim berpotensi membawa jenama politik yang kuat,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pencalonan Naim sebagai langkah pragmatik bagi mengelakkan perpecahan dalaman selain mengambil kira kekangan masa singkat antara pilihan raya negeri yang baru selesai dan PRK.

“Dalam politik ‘survival’ Sabah, elemen legasi sering menjadi ‘insurans’ penting untuk mengekalkan keutuhan blok pengundi dan memperkenalkan calon baharu yang tidak dikenali hanya meningkatkan risiko sabotaj dalaman,” katanya.

Pengerusi BN Zahid Hamidi mengesahkan Naim dinamakan sebagai calon mewakili gabungan itu pada PRK itu nanti.

‎Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya, Bung Moktar, meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

‎Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan tahun depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.