Meski berdepan konflik, sokongan PN kekal kuat, kata penganalisis

Meski berdepan konflik, sokongan PN kekal kuat, kata penganalisis

Azmi Hassan dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid tiada tanda sokongan orang Melayu beralih dari Perikatan Nasional ke Pakatan Harapan.

Anwar Ibrahim speaking with Madani background
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada di kedudukan yang kukuh untuk memanggil PRU pada hujung tahun ini sekiranya petunjuk ekonomi kekal positif, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis memberi amaran bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak boleh memandang rendah Perikatan Nasional (PN) walaupun gabungan pembangkang itu kini berdepan konflik dalaman.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata bahawa, walaupun berlaku konflik antara PAS dan Bersatu serta krisis kepimpinan dalam Bersatu sendiri, PN terus menguasai sebahagian besar sokongan orang Melayu.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi berkata pengundi Melayu tidak mungkin berasa begitu kecewa sehingga beralih sokongan daripada PN kepada Pakatan Harapan (PH), walaupun Barisan Nasional (BN) mungkin mendapat sedikit manfaat.

Ini sebabnya Anwar hanya ada sedikit insentif untuk memanggil PRU16 tahun ini, katanya.

“Saya fikir Anwar sedar bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk memanggil PRU16, kerana pemindahan undi (daripada PN) kepada PH tidak akan berlaku, atau walaupun ada berlaku, ia adalah minimum,” katanya kepada FMT.

Fauzi berkata belum pasti juga sama ada penyokong Umno akan menyokong PH dalam PRU16, terutamanya dalam pertandingan satu lawan satu dengan PN, khususnya selepas beberapa pertikaian dengan DAP.

Beliau menambah pada PRU 2022, walaupun prestasi Bersatu dijangka merosot tetapi itu dengan bantuan PAS berjaya menarik sebahagian besar pengundi Umno, dengan memperoleh 31 kerusi Parlimen.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Beliau berkata memanggil pilihan raya mengejut adalah sesuatu yang berisiko.

“Kerajaan sepatutnya bertindak ketika peluang terbuka.

“Tetapi jika PN berjaya meyakinkan pengundi Umno bahawa parti mereka telah mengkhianati perjuangan Melayu dengan terus bekerjasama dengan DAP, kerajaan perpaduan mungkin perlu bersiap sedia menghadapi beberapa kejutan pilihan raya,” katanya.

PRU seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya pada Feb 2028, manakala PRN Melaka dan Johor masing-masing mesti berlangsung selewat-lewatnya pada Februari dan Jun 2027.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebelum ini menggesa agar PRU16 diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor, bagi menjimatkan kos dan memudahkan pengundi di kedua-dua negeri tersebut.

Masa sesuai untuk PRU16?

Fauzi berkata mengadakan PRU16 pada akhir tahun ini serentak dengan PRN Melaka dan Johor akan dianggap sebagai ‘normal’ memandangkan kerajaan Madani akan melengkapkan empat tahun pentadbiran pada ketika itu.

Beliau menambah bahawa mengadakan pilihan raya secara serentak juga akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan mencerminkan pengurusan kewangan yang berhemat oleh kerajaan.

“Jadi jika keadaan sesuai, seperti yang dicerminkan terutamanya dalam petunjuk ekonomi yang positif, tiada sebab untuk menangguhkannya terlalu lama selepas tanda aras empat tahun dicapai.

“Dengan andaian bahawa Anwar mungkin tidak kekal untuk mempertahankan pakatan PH-BN dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, kerajaan seharusnya gunakan kedudukan Anwar ketika ini, dengan memanfaatkan pengaruh beliau di peringkat global dan pencapaian ekonomi.

“Ia adalah satu pertaruhan yang berbaloi untuk diambil, bagi meneruskan visi Madani,” kata Fauzi.

Bagaimanapun, Azmi berkata bahawa walaupun terdapat petunjuk ekonomi yang positif, termasuk pengukuhan ringgit, terdapat sentimen negatif berhubung perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia dengan Amerika Syarikat, yang sedang diusahakan Putrajaya untuk dirundingkan semula.

“Saya fikir PH masih mempunyai masa untuk membuat beberapa penyesuaian bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, selepas itu barulah masa yang sesuai untuk memanggil PRU16; mungkin pada akhir tahun depan.”

Melaka, Johor jadi ‘ujian litmus’

Azmi tidak menjangkakan PRU16 akan diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor, memandangkan kedua-dua negeri itu diterajui BN dan berkemungkinan dijadikan ‘ujian litmus’ bagi kerjasama PH-BN sebelum PRU.

Beliau menjangkakan Melaka akan mengadakan PRN terlebih dahulu, diikuti Johor, bagi membolehkan penyesuaian dalam pakatan dibuat dan diuji sebelum PRU16.

“Jika PRN Melaka berlangsung terlebih dahulu, maka Johor (Umno) boleh membuat penyesuaian yang perlu untuk kempennya.”

BN mencatat kemenangan besar dalam PRN Melaka 2021, dengan memenangi 21 kerusi manakala PH memperoleh lima dan PN dua.

Ia meneruskan prestasi kukuh dalam PRN Johor pada tahun berikutnya, dengan meraih 40 kerusi berbanding PH 12, PN (tiga) dan Muda (satu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.