Realitinya Amanah gagal bina akar umbi, kata penganalisis

Realitinya Amanah gagal bina akar umbi, kata penganalisis

Penganalisis berkata isu utama perlu ditangani Amanah bukan sekadar angka sokongan tetapi kekaburan mesej politik parti di mata pengundi Melayu.

amanah
Penganalisis berkata Amanah perlu segera tampil dengan strategi lebih berani bagi memberi keyakinan pengundi Melayu terhadap parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kesukaran Amanah menjelaskan naratif dan identiti politiknya kepada pengundi Melayu menyebabkan parti itu dilihat sukar meraih undi kaum tersebut, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, isu utama perlu ditangani Amanah bukan sekadar angka sokongan, tetapi kekaburan mesej politik parti di mata pengundi Melayu.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Masalah lebih kepada naratif. Siapa Amanah, ia tak cukup sekadar ‘Melayu Islam progresif’. Apa maksudnya? Adakah mereka agresif dalam menyebarkan idea Islam progresif dan Islam yang sebenar. Di sinilah media sosial memainkan peranan.

“Mungkin Amanah tak boleh tarik pengundi PAS dan Umno tetapi mereka patut cuba fokus menarik undi orang muda yang mungkin belum membuat keputusan. Adakah mereka sedang cuba sedaya upaya,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkait sokongan pengundi Melayu kepada parti itu sekitar 1% hingga 5% sahaja, dalam acara di ibu negara Sabtu lalu.

Hasbie berkata, dapatan itu adalah realiti politik dan patut dijadikan ‘wake-up call’ menjelang PRU16.

Bagaimanapun, semalam Hasbie menjelaskan sokongan itu adalah hasil kajian badan bebas berdasarkan senario jika Amanah bertanding solo selain menerangkan ia bukan gambaran keseluruhan kerana tidak mengambil kira faktor lain seperti sokongan kepada Pakatan Harapan dan persepsi terhadap pencapaian kerajaan perpaduan.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata dapatan tersebut menunjukkan Amanah hilang arah sambil menambah, angka kurang daripada 5% terlalu kecil untuk parti yang mahu menampilkan wajah Islam progresif.

“Realitinya, Amanah gagal membina akar umbi dan sering dilihat sekadar parti tambahan dalam Pakatan Harapan,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting.

Dalam pada itu, Zaharuddin berkata Amanah perlu segera tampil dengan strategi lebih berani bagi memberi keyakinan pengundi Melayu terhadap parti.

“Amanah mesti segera bangkit dengan strategi berani, memperkukuh akar umbi, mengangkat perjuangan Melayu secara autentik, dan membina naratif segar yang meyakinkan.

“Masa untuk berhenti bermain ‘selamat’ sudah tamat, hanya dengan tampil sebagai juara isu Melayu, Amanah boleh mengembalikan maruah dan relevansi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.