
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata PAS yang telah mencapai kemuncaknya tidak akan mampu memperoleh majoriti mencukupi untuk bentuk kerajaan secara bersendirian.
Katanya, PAS berpotensi menambah beberapa lagi kerusi di Pahang dan Selangor tetapi bakal berdepan kesukaran untuk menang di negeri-negeri selatan.

Syaza berkata walaupun PAS memenangi 50 kerusi, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Katanya, parti itu tetap perlu rakan kerjasama. Sebab itu PAS cuba mendekati Umno, MCA dan MIC, selain gabungan pemerintah di Sabah dan Sarawak.
“PAS jelas menyedari realiti ini. Jadi, untuk membentuk kerajaan, PAS perlu ‘menyederhanakan’ dirinya.
“Sebab itu saya selalu beritahu orang ramai bahawa walaupun PAS membentuk kerajaan, ia tidak semestinya akan menjadi sesuatu yang buruk. Ia bukan sesuatu yang perlu kita takuti.”
Syaza berkata demikian pada satu persidangan yang dianjurkan oleh Institute for Democracy and Economic Affairs.
Beliau menjawab soalan mengenai kesan sekiranya PAS bergerak secara solo pada PRU akan datang.
Pada Januari, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, mencadangkan agar parti itu bertanding secara solo pada PRU16 sekiranya kebuntuan berhubung pelantikan pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) berterusan.
Beliau berkata isu itu telah berlarutan terlalu lama dan PAS, dengan kekuatannya sendiri, mampu mencatat prestasi baik, khususnya di empat negeri yang kini ditadbirnya.
Minggu lalu, seorang bekas pembantu kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia menentang seorang pemimpin PAS mengambil alih jawatan pengerusi PN selepas peletakan jawatan Muhyiddin pada 1 Jan, kerana bimbangan imej ‘hardline’ PAS.