Bayaran saham tertunggak hampir 2 tahun, pelabur KPF tuntut kepastian

Bayaran saham tertunggak hampir 2 tahun, pelabur KPF tuntut kepastian

Wakil pelabur dakwa kelewatan menjejaskan kebajikan peneroka Felda dan menuntut pembayaran penuh dilakukan segera.

Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda
Pelabur Koperasi Permodalan Felda Berhad mengadakan bantahan secara aman bagi menuntut koperasi itu melunaskan bayaran jualan saham yang tertangguh sehingga hampir dua tahun.
KUALA LUMPUR:
Pelabur Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menuntut bayaran penjualan saham yang didakwa tertunggak sehingga hampir dua tahun, sambil mendakwa kelewatan berpanjangan itu menjejaskan kebajikan ahli yang majoritinya terdiri daripada peneroka Felda.

Wakil pelabur, Ahmad Karami Lebai Yunus, berkata penjualan saham dibuat secara sah dan mengikut prosedur ditetapkan, namun bayaran masih belum diterima walaupun tempoh menunggu semakin panjang.

“Keadaan ini memberi kesan besar khususnya kepada pelabur warga emas yang memerlukan wang tersebut untuk rawatan kesihatan, selain waris yang berdepan kesukaran menguruskan harta pusaka kerana hasil penjualan saham masih belum dilunaskan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, dia bersama kira-kira 100 pelabur dan waris peneroka Felda mengadakan himpunan secara aman di sini bagi menuntut pembayaran penuh segera serta penjelasan rasmi bertulis kepada semua ahli serta jadual pembayaran muktamad.

Selain itu, Karami turut mempersoalkan keutamaan pengurusan kewangan KPF apabila mendakwa koperasi itu masih meluluskan pembiayaan baharu, sedangkan bayaran wang hak milik ahli sendiri terus tertangguh tanpa tarikh pembayaran yang jelas.

“Pelabur tidak turun berhimpun kerana suka-suka, tetapi kerana hak mereka dinafikan terlalu lama dan tiada penjelasan munasabah diberikan,” katanya yang menambah tindakan lanjut mungkin diambil jika isu berkenaan gagal diselesaikan.

Mengulas perkara itu, Pengerusi KPF, Banuri Aris, berkata koperasi berkenaan komited melaksanakan bayaran pengeluaran modal syer anggota secara terancang dan berperingkat, selaras dengan keupayaan aliran tunai serta keperluan memastikan kelangsungan perniagaan.

“Keutamaan pembayaran diberikan kepada kes tertentu termasuk anggota yang memerlukan dana bagi tujuan ibadah haji dan umrah, rawatan penyakit kronik, pendidikan serta kes mendesak lain, tertakluk kepada kelulusan dan dokumen sokongan.

“KPF sentiasa menyantuni permohonan pengeluaran dana, namun pada masa sama perlu mengimbangi keperluan pembayaran dengan operasi perniagaan supaya pulangan jangka panjang kepada anggota dapat dikekalkan,” katanya.

Banuri turut menyatakan pihak pengurusan dan lembaga koperasi sentiasa meneliti langkah pengurangan risiko bagi memperbaiki aliran tunai, dengan hasrat memberikan peluang dan pulangan yang lebih baik kepada anggota pada tahun-tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.