
Langkah itu diambil bagi memastikan kelangsungan operasi dan kepentingan semua anggota terpelihara, selaras dengan prinsip tadbir urus yang berhemah.
KPF dalam kenyataan menjelaskan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan telah dimulakan sejak Julai 2024, melibatkan penjualan dan penstrukturan semula aset bagi meningkatkan kecairan tunai.
“Sebahagian daripada pelan itu telah dimuktamadkan Julai lalu dan telah diperjelaskan kepada anggota melalui siri Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) serta Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-44.
“Setakat ini, KPF telah memproses permohonan pengeluaran modal syer berjumlah RM909.85 juta bagi tempoh 2020 hingga 2025, dengan RM543.6 juta daripadanya telah dibayar penuh bagi tuntutan tahun 2020 hingga 2023,” menurutnya.
Selain bayaran syer, KPF turut mengagihkan dividen berjumlah RM659.7 juta dalam tempoh lima tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan manfaat yang diterima anggota mencecah RM1.20 bilion.
Bagi permohonan tahun 2024 dan 2025 yang masih menunggu, KPF menjelaskan bayaran akan dibuat secara penggiliran mengikut aliran tunai semasa, namun keutamaan diberikan kepada kes kecemasan seperti perubatan dan pendidikan.
KPF turut mengingatkan anggota pengeluaran modal syer tertakluk kepada Undang-Undang Kecil (UUK) 24(1) dan saranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), yang mana ia tidak boleh dikeluarkan secara bebas seperti akaun bank.
Mengikut aturan baharu, pengeluaran dihadkan kepada enam kali sepanjang tempoh keanggotaan, dengan kekerapan hanya sekali setahun tertakluk kepada kelulusan Lembaga dan ketersediaan tunai.
Walaupun berdepan cabaran aliran tunai, prestasi kewangan KPF bagi tahun 2025 diunjurkan kekal positif dengan keuntungan kukuh hasil sumbangan sektor perladangan, hartanah, dan perkhidmatan Ar-Rahnu.
KPF berkata tindakan itu perlu bagi melindungi kepentingan majoriti 83% anggota yang masih setia dan mengharapkan pulangan dividen tahunan yang munasabah.