
Menurutnya, lanjutan masa itu diluluskan susulan kelewatan mendapat kebenaran memulakan kerja bagi seksyen enam projek berkenaan yang memerlukan penilaian teknikal Lembaga Lebuhraya Malaysia.
“Pemberian EOT kedua dibuat mengikut Klausa 49.1(f) kontrak, yang merujuk ‘kelewatan dalam mendapatkan kelulusan, permit atau kebenaran mana-mana badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan’.”
Syarikat itu menyuarakan komitmennya untuk menyiapkan baki kerja mengikut tarikh akhir baharu.
Kenyataan PIC itu menyusul laporan Guang Ming Daily memetik seorang ahli jawatankuasa MCA Pulau Pinang mempersoalkan kelewatan projek berkenaan.
EOT pertama sehingga 31 Okt 2026 diberikan kepada PIC pada 30 Okt 2023 kerana kerja tapak tidak dapat dimulakan mengikut jadual akibat proses pengambilalihan tanah untuk laluan utama.
PIC berkata, EOT hanya akan dipertimbang dan diluluskan jika kontraktor dapat mewajarkan kelewatan itu berdasarkan bukti teknikal, sejajar syarat kontrak projek.
“Permohonan untuk kedua-dua EOT melalui penelitian dan pertimbangan menyeluruh jawatankuasa lanjutan masa.”
Jalan pintasan bebas tol sepanjang 6km itu akan mempunyai laluan aras tanah sejauh 1.8km, manakala baki laluan akan dibina secara bertingkat melalui struktur jejambat (65%), terowong (20%) dan bahagian gred (15%).
Ia terdiri daripada tiga persimpangan: Lebuhraya Thean Teik, Persimpangan Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah dan LCE yang akan membabitkan akses “kiri masuk, kiri keluar” serta pusingan U bertingkat.
Projek RM851 juta itu sebahagian daripada projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama lebih besar bernilai RM6.3 bilion.
PIC ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek mega di negeri itu, termasuk projek Pulau Silikon di pantai Batu Maung dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.