
Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri, berkata gesaan dibuat seorang pemimpin PN supaya gabungan itu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi mencerminkan realiti landskap politik semasa apabila pengundi kini semakin matang dan kritikal dalam menilai kepimpinan.
“Pengundi sekarang lebih peka dan mahukan pemimpin yang benar-benar boleh mentadbir dan membawa pembaharuan, penstrukturan dan reformasi ekonomi. Tapi perlu ingat pertumbuhan ekonomi juga bergantung kepada kestabilan sosial.
“Jadi, dalam memilih pemimpin yang pandai mengurus ekonomi, kita juga perlu seorang pemimpin yang faham bahawa kestabilan ekonomi datang daripada perpaduan rakyat rentas agama dan kaum,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata PN perlu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16 susulan tempoh Parlimen yang genap tiga tahun.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula sinis dengan kenyataan Saifuddin sambil mempersoalkan dakwaan kelebihan mengurus ekonomi yang sering dikaitkan dengan beberapa pemimpin PN seperti Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu berkata, kedua-dua tokoh yang kerap diketengahkan sebagai mempunyai kekuatan ekonomi masih belum membuktikan keupayaan tersebut secara meyakinkan.
“Adakah ini sekadar retorik politik untuk memperkukuh imej atau propaganda yang cuba menutup kelemahan sebenar. Tanpa bukti kukuh, kenyataan sebegini hanya mengelirukan rakyat dan berisiko dilihat sebagai cakap kosong semata-mata,” katanya.
Katanya, ekonomi bukan ruang untuk permainan persepsi sebaliknya menuntut ketelusan, keberkesanan dasar dan pencapaian yang nyata.
“Sebagai rakyat prihatin, kita perlu menilai setiap kenyataan berdasarkan fakta dan pencapaian sebenar. Hanya dengan cara itu, kita dapat membezakan antara retorik kosong dan strategi ekonomi yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.