Sidang DUN Perlis tangguh

Sidang DUN Perlis tangguh

Surat kepada Adun memaklumkan mesyuarat yang dijadualkan pada 21 hingga 23 April ditunda ke tarikh lain.

Dewan Undangan Negeri DUN Perlis
Persidangan pada 21 April itu sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember 2025 apabila beberapa Adun PN menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sidang DUN Perlis yang dijadual bermula 21 April telah ditangguhkan tanpa tempoh tertentu.

Tiada juga sebab penangguhan dinyatakan.

Adun Indera Kayangan yang juga ketua pembangkang negeri, Gan Ay Ling mengesahkan perkara itu kepada FMT.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Noor Azman Abdul Rahman.

Dalam surat bertarikh hari ini, Setiausaha DUN Anwar Shahul Hameed memaklumkan pembukaan dan mesyuarat pertama penggal keempat DUN yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 23 April ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Surat itu turut dihantar kepada menteri besar, speaker DUN serta pegawai kanan lain. FMT telah meminta komen daripada Speaker, Rus’sele Eizan.

Sidang itu sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember 2025, apabila beberapa Adun Perikatan Nasional menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Lapan ADUN PN termasuk tiga dari PAS dan lima dari Bersatu, dilaporkan telah mengemukakan akuan bersumpah untuk menarik sokongan.

Shukri meletak jawatan pada 25 Disember dengan alasan masalah kesihatan. Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, kemudiannya dilantik sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.