
Apabila Hamzah Zainudin si timbalan presiden Bersatu dipecat pada Februari lalu, ramai menantikan apakah percaturan beliau seterusnya.
Pada satu ketika, beliau kelihatan hampir pasti mengambil alih kemudi sebuah parti kerdil, menjenamakannya semula, dan akhirnya mengiringi Perikatan Nasional (PN).
Cumanya bermula dari bawah tanpa ‘abang long’ mungkin suatu masalah.
Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad melangkah ke gelanggang menaiki tangga Pakatan Harapan. Kewibawaan seorang bekas perdana menteri serta rasa tidak puas hati yang meluas terhadap Najib Razak memberikan momentum yang diperlukan.
Jika Hamzah mahu melancarkan wadah baharu, beliau mungkin akan cuba menggunakan strategi sama — di bawah ketiak PAS sebagai ‘abang long’. Masalahnya Muhyiddin Yassin, yang Hamzah sendiri isytihar musuh nombor satu, berkemungkinan besar akan menghalang.
Muhyiddin mungkin akan mengancam untuk menarik Bersatu keluar PN sebagai tanda protes jika Hamzah dibawa masuk.
PAS pula berkemungkinan besar tidak mahu perkara itu berlaku kerana mereka masih memerlukan Bersatu sebagai pengimbang, meskipun PAS mungkin tidak memerlukan Muhyiddin. Selain itu, PAS juga memerlukan Ikatan Prihatin Rakyat yang ditubuhkan oleh Muhyiddin.
Kesimpulannya, PAS akan rugi besar jika Bersatu meninggalkan PN.
Lagipun, menjadikan PAS sebagai ‘abang long’ mungkin berisiko bagi Hamzah dan sekutunya.
Pertamanya, PAS akan mendominasi rundingan kerusi. PAS memiliki pengaruh yang cukup besar untuk menentukan pengagihan kerusi dalam kalangan komponen PN, memandangkan ia menduduki kerusi terbanyak.
Maka, boleh diandaikan PAS akan membolot sebahagian besar kerusi yang berpotensi menang, dan menyerahkan kerusi yang ‘kureng’ kepada sekutu, termasuk parti baharu Hamzah.
Sebagai alternatif, Hamzah dan kumpulannya boleh menyertai PAS, tetapi itu juga mengundang risiko kepada kedua-dua belah pihak.
Ahli Parlimen Larut itu tidak lagi akan berada dalam kedudukan berkuasa dan mungkin mengalami nasib yang sama seperti bekas orang kuat Umno, Annuar Musa — kini sekadar jurucakap tanpa kuasa sebenar.
Politik Melayu berputar sekitar sokongan akar umbi dan kesetiaan kepada pemimpin, dan — selain Islam — ia kekurangan asas ideologi yang jelas.
Hamzah dan sekutu kelihatan kurang terdedah pada tradisi islah yang diperjuangkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), dan, pada satu ketika dahulu, PAS.
Justeru, di mana letak duduk beliau dalam naratif islah?
Apa yang diperlukan seseorang untuk meyakinkan orang Melayu bahawa dia benar-benar meletakkan akhirat mengatasi segala-galanya bukanlah jersi hijau dan kopiah.
Adakah beliau kelak akan menyisipkan ayat-ayat Al-Quran dalam ucapannya bagi membuktikan bahawa beliau layak mendapat sokongan pengundi Melayu?
Penyertaan Hamzah ke dalam PAS juga boleh memudaratkan parti itu.
Bekas menteri dalam negeri itu bukanlah ahli politik yang kecewa dan menaruh dendam kerana kehilangan jawatan, beliau seorang operator licik dan berupaya memimpin pengikut yang setia.
Kelompok ulama dalam PAS amat menyedari perkara ini. Walaupun Hamzah bukan ancaman sekarang, keberadaan beliau boleh menyuntik keberanian dalam kalangan kelompok profesional untuk mencabar golongan ulama pada satu ketika nanti.
Oleh itu, mengalu-alukan kehadirannya ke dalam saf kepimpinan boleh memakan diri.
Sebanyak mana Hamzah boleh membantu pembangkang mencabar PH dan Barisan Nasional dalam pilihan raya, beliau juga berpotensi menjadi watak yang melemahkan penguasaan kelompok ulama.
Dari sudut lain, Hamzah boleh menjadi penyederhana untuk mengimbangi golongan keras dalam pembangkang, dan ini akan memberi petanda baik bagi rakyat dalam jangka masa panjang.
Potensi dan ancaman Hamzah, sekiranya beliau memilih untuk menyertai PAS, mungkin menjelaskan mengapa PN yang kini diterajui PAS melengah-lengahkan pelantikan ketua pembangkang baharu.
Justeru, menuduh PAS dilanda ketidakpastian atau melabelnya sebagai parti tanpa hala tuju adalah salah. Kelakuan PAS adalah suatu strategi, dengan menunggu.
Tidak mustahil PAS akan ketawa akhirnya — apabila ia menyerap Hamzah dan kumpulan pemberontak dalam Bersatu sambil mengekalkan Bersatu dalam PN.
Rakyat hanya perlu menonton drama ini.