Petua 8: Rakyat celaru, bimbing mereka dengan 7 teknik propaganda

Petua 8: Rakyat celaru, bimbing mereka dengan 7 teknik propaganda

Masyarakat moden bukan tidak mahu berfikir tetapi tidak sempat berfikir. Di sinilah propaganda menjadi kompas yang mengatur hala keputusan mereka.

Pada akhir 1930-an, dunia sedang bergolak dengan kebangkitan propaganda politik dari Jerman, Itali dan Rusia. Dalam suasana inilah dua sarjana komunikasi Amerika bernama Alfred McClung Lee, ahli sosiologi kritikal, dan isterinya Elizabeth Briant Lee, seorang pakar kajian komunikasi massa ditugaskan oleh Institute for Propaganda Analysis (IPA) untuk menulis sebuah buku penting bertujuan mendidik masyarakat memahami bagaimana propaganda bekerja.

Latar belakang mereka ketika menghasilkan The Fine Art of Propaganda (1939) sangat signifikan: Alfred ialah sarjana yang menentang manipulasi politik dan percaya bahawa masyarakat perlu celik propaganda, manakala Elizabeth pula mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti corak bahasa, simbol dan emosi yang mendorong manusia membuat keputusan. Buku itu dihasilkan sebagai amaran bahawa masyarakat moden, walau berpendidikan tinggi sekalipun masih boleh dimanipulasi kerana mereka sering keliru, sibuk, dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menganalisis maklumat secara mendalam.

Dalam dunia moden hari ini, latar belakang sarjana Alfred dan Elizabeth masih sangat relevan. Mereka berpendapat manusia tidak membuat keputusan berdasarkan dunia sebenar, tetapi berdasarkan dunia yang sudah diolah melalui propaganda. Manusia moden dibanjiri maklumat, tetapi kekurangan fokus dan masa. Oleh itu, mereka lebih suka menggunakan ‘jalan pintas mental’ iaitu peranan emosi, simbol, slogan dan sudut pandang yang diberikan oleh propagandis.

Propaganda moden bukan sekadar manipulasi, tetapi satu bentuk dorongan halus yang menentukan arah keputusan masyarakat tanpa mereka sedari. Dengan memahami tujuh teknik propaganda Alfred dan Elizabeth, kita dapat melihat bagaimana keputusan masyarakat hari ini sebenarnya lahir daripada panduan tersembunyi, bukan analisis rasional.

Teknik pertama, ‘Name-Calling’, menggunakan label untuk mematikan kemampuan berfikir. Apabila seseorang dilabel sebagai radikal, antirakyat, atau pengkhianat, masyarakat tidak lagi menilai hujahnya. Alfred dan Elizabeth ketika menulis buku ini sedar bahawa dalam era 1930-an, Hitler dan Mussolini menggunakan label untuk menghapuskan perdebatan.

Hari ini pun, label digunakan dengan tujuan sama, ia mempercepat keputusan masyarakat kerana mereka tidak perlu memikirkan isu secara mendalam. Jika kumpulan yang membantah sesuatu projek pembangunan dilabel ‘antikemajuan’, pendapat mereka tidak lagi didengar. Masyarakat akan terus menyokong projek itu walaupun tidak membaca satu halaman pun laporan impak.

Teknik kedua, ‘Glittering Generalities’, pula menggunakan istilah indah tetapi kabur. Lee dan Lee menegaskan bahawa perkataan seperti ‘stabil’, ‘sejahtera’, ‘harmoni’, atau ‘transformasi’ memberikan rasa selesa tanpa perlu menjelaskan makna sebenar.

Semasa mereka menulis buku ini, kedua-duanya mengkaji bagaimana propaganda politik era Perang Dunia menggunakan kata-kata indah untuk menutup agenda sebenar. Dalam konteks hari ini, apabila kerajaan memperkenalkan polisi dengan nama ‘Keadilan untuk Semua’, masyarakat terus menyokong kerana slogan itu menyentuh emosi, bukannya kerana mereka memahami isi polisi tersebut.

Teknik ketiga, ‘Transfer’, memindahkan kredibiliti simbol kepada mesej. Pada era Alfred dan Elizabeth, simbol negara, agama dan gambar pemimpin digunakan secara meluas untuk mewajarkan dasar negara. Hari ini, teknik itu digunakan dalam kempen kesihatan yang dipromosikan di masjid, kuil atau gereja untuk memindahkan aura suci tempat-tempat ibadat itu kepada mesej yang mahu disampaikan. Orang ramai mempercayai sesuatu bukan kerana mereka memahami fakta dan data perubatan, tetapi kerana mesej itu dipadankan dengan simbol yang diyakini.

Teknik keempat, ‘Testimonial’, menggantikan proses berfikir dengan kepercayaan terhadap tokoh. Dalam buku ini Alfred dan Elizabeth menunjukkan bagaimana tokoh terkenal termasuk selebriti Hollywood dan pemimpin agama digunakan untuk menyokong agenda politik. Prinsip ini kekal sama dalam masyarakat moden. Apabila seorang doktor terkenal atau selebriti mempromosikan kempen derma darah, orang ramai cenderung menyertainya bukan kerana berdasarkan fakta perubatan, tetapi kerana mereka mempercayai tokoh yang menyampaikan mesej tersebut.

Teknik kelima, ‘Plain Folks’, memaparkan propagandis sebagai orang biasa yang dekat dengan kehidupan rakyat. Pada era 1930-an, ada pemimpin totalitarian menyamar sebagai ‘pejuang rakyat’. Alfred dan Elizabeth mengkritik bagaimana mereka berlakon dengan menampilkan imej sederhana untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai. Dalam konteks hari ini, pendekatan yang sama masih digunakan: pemimpin turun minum kopi di warung, berpakaian macam orang kampung atau berbual tentang harga barang dengan orang ramai. Walaupun mesej yang disampaikan mungkin sama seperti di pentas rasmi, namun ia lebih mudah diterima kerana disampaikan dalam suasana yang kelihatan dekat dengan kehidupan seharian.

Teknik keenam, ‘Card Stacking’, ialah seni memilih fakta yang menguntungkan. Alfred dan Elizabeth mengkritik propaganda politik yang menonjolkan kejayaan negara tetapi menyembunyikan kegagalan atau penindasan yang berlaku. Teknik ini tetap relevan dalam era digital. Iklan perumahan memaparkan landskap hijau yang indah tetapi menyembunyikan risiko banjir; laporan kemajuan projek menonjolkan pencapaian tetapi mengelak daripada membincangkan kelewatan atau kos tambahan. Akibatnya, masyarakat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, yang berupa separuh kebenaran yang disusun secara strategik.

Teknik ketujuh, ‘Bandwagon’, membina tekanan sosial supaya orang ramai terpaksa mengikuti arus majoriti. Alfred dan Elizabeth menyedari secara psikologi manusia takut menjadi minoriti. Oleh itu, rejim politik sering memaparkan gambaran ‘kejayaan palsu’ atau ‘sokongan meluas’ untuk meyakinkan rakyat bahawa semua orang sudah menyokong mereka. Dalam dunia hari ini, angka sokongan, undian popular, graf media sosial dan istilah seperti ‘gelombang rakyat’ menghasilkan kesan sama. Masyarakat menyertai sesuatu bukan kerana kebenaran, tetapi kerana tidak mahu menjadi orang terakhir yang ketinggalan.

Akhirnya, gabungan tujuh teknik yang dihuraikan oleh Alfred dan Elizabeth membentuk suatu mekanisme yang menjelaskan bagaimana masyarakat moden sering membuat keputusan dengan pantas, bersifat emosional, dan dipandu oleh lapisan maklumat yang diolah terlebih dahulu.

Mereka menulis buku itu sebagai amaran bahawa propaganda bekerja secara halus dan paling licik apabila masyarakat merasakan mereka bebas memilih, padahal keputusan sudah ditentukan melalui rangkaian label, simbol, tokoh, slogan, cerita orang biasa, pemilihan fakta dan tekanan sosial.

Dalam dunia hari ini yang lebih kompleks daripada era 1930-an, ramalan Alfred dan Elizabeth terbukti benar: masyarakat moden bukan tidak mahu berfikir, tetapi tidak sempat berfikir. Di sinilah propaganda menjadi kompas yang mengatur hala keputusan mereka.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.