
Setiausahanya, Sitti Fhaizah Mukthar, memaklumkan tabung itu diwujudkan sepenuhnya untuk membantu keluarga serta menyokong proses prosiding inkues sedang berlangsung.
“Kami dengan tegas menafikan sebarang salah guna atau penyelewengan dana. Semua pengurusan kewangan dilakukan mengikut prosedur pertubuhan dan peraturan sah yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua kutipan dana direkodkan dengan teliti dan digunakan hanya untuk tujuan dinyatakan, termasuk kos dokumentasi, khidmat kepakaran, logistik, penginapan keluarga dan pakar serta keperluan mesyuarat dan operasi.
Katanya, setiap perbelanjaan dilakukan disertakan resit dan dokumen rasmi bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya.
Jelasnya, tabung itu yang dibuka untuk sumbangan dari 8 hingga 12 Sept lalu berjaya mengumpul RM255,016.27.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM162,155.87 dibelanjakan atas pelbagai keperluan berkaitan kes, menjadikan baki semasa tabung setakat semalam ialah RM94,096.97.
Menyentuh pecahan perbelanjaan, beliau berkata, kos terbesar dicatatkan adalah khidmat kepakaran dan konsultasi profesional yang menelan belanja RM82,747.35, diikuti kos logistik dan perjalanan.
Ia membabitkan perbelanjaan untuk perjalanan udara dan darat bagi pakar serta pengangkutan keluarga berkaitan prosiding berjumlah RM40,435.54, selain beberapa perbelanjaan lain seperti penginapan (RM22,119.28) serta dokumentasi dan komunikasi (RM12,497).
Menurutnya, semua maklumat serta rekod berkaitan Tabung #JusticeForZara itu telah didedahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi tujuan semakan dan pemantauan.
“Pihak pertubuhan juga menyuarakan kesediaan terus bekerjasama dengan pihak berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tadbir urus telus dapat dikekalkan.
“Laporan kewangan tabung ini juga terbuka untuk disemak pihak berkuasa mahupun penderma yang berminat mengetahui butiran lanjut aliran dana.”
Beliau berkata, pendedahan perincian akaun itu diharap dapat menjernihkan persepsi masyarakat dan mengembalikan kepercayaan terhadap usaha murni demi menuntut keadilan.
Zara Qairina Mahathir, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues diadakan selepas meneliti laporan siasatan polis.