Zara pernah difitnah, takut dengan pelajar senior, dedah saksi

Zara pernah difitnah, takut dengan pelajar senior, dedah saksi

Peguam berkata Zara Qairina Mahathir memaklumkan kepada saksi ke-59 dia pernah difitnah oleh pelajar senior yang menuduhnya bercakap buruk di belakang mereka.

zara qairina
Inkuiri yang memasuki hari ke-56 hari ini bermula 3 Sept tahun lalu selepas Zara Qairina Mahathir disahkan meninggal dunia pada 17 Julai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Zara Qairina Mahathir dilaporkan pernah berasa takut terhadap pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha sebelum insiden ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu.

Peguam Rizwandean M Borhan berkata, Zara memaklumkan kepada saksi ke-59 dia pernah difitnah oleh pelajar senior yang menuduhnya bercakap buruk di belakang mereka walaupun perkara itu tidak pernah dilakukan.

Katanya, saksi berkenaan yang juga seorang kanak-kanak memberi keterangan bahawa pada Mei tahun lalu, dia pernah meminta Zara menemaninya ke blok akademik sekolah yang memerlukan mereka melalui kawasan berhampiran bilik pelajar senior.

“Apabila dia meminta Zara (Qairina) menemaninya, Zara berkata dia takut. Namun, akhirnya Zara tetap mengikutinya.

“Ketika mereka naik ke tingkat atas, mereka terdengar seorang pelajar senior berkata ‘getek’ (dialek Sabah bermaksud miang, gatal atau gedik). Zara kemudian terus berkata kepada saksi, ‘kan saya dah cakap’,” katanya, menurut Harian Metro.

Rizwandean berkata, itulah sebabnya saksi memberitahu bahawa Zara pada awalnya takut untuk naik bersama dengannya, sambil menambah saksi sama turut memberi keterangan pernah mengalami insiden fitnah yang hampir sama dalam kes lain.

Mengenai saksi ke-60 yang juga seorang kanak-kanak, Rizwandean berkata, saksi itu memberi keterangan berkaitan kejadian pada malam 15 Julai apabila Zara dipanggil oleh pelajar senior, selain menggambarkan Zara sebagai seorang yang ceria dan pemurah.

Katanya, saksi berkenaan mengingati bagaimana Zara pernah menambah nilai wang untuknya ketika mereka pergi ke kantin.

“Selepas itu, Zara berkata, ‘tak apa, tak payah bayar balik. Saya tambah duit untuk kamu, kamu tak perlu ganti’.

“Saksi juga berkata Zara suka menyapa orang dan seorang yang menghormati pelajar senior. Apabila ditanya maksud menghormati, dia menjelaskan bahawa setiap kali Zara berselisih dengan senior, dia akan menundukkan kepala sedikit dan memberi salam,” katanya.

Sementara itu, peguam Joan Goh berkata, seorang saksi kanak-kanak akan dipanggil semula esok selepas didedahkan bahawa saksi berkenaan pernah menyerahkan satu beg plastik berisi rantai kunci dan beberapa nota kepada seorang guru.

Mahkamah Koroner dimaklumkan mengenai perkembangan itu selepas bekas ketua warden, Azhari Abd Sagap, memberi keterangan berhubung penyerahan barangan berkenaan minggu lalu.

“Kami mahu tahu mengapa saksi itu menyerahkan barangan berkenaan kerana guru terbabit memaklumkan bahawa dia tidak mahu menyimpan apa-apa barangan milik Zara.

“Kami mahu saksi kanak-kanak itu memberi keterangan mengapa dia memulangkan barangan tersebut. Salah satunya, saya percaya, ialah rantai kunci berbentuk avokado,” katanya.

Rizwandean mewakili ahli keluarga Zara, manakala Goh mewakili salah seorang pelajar yang didakwa dalam kes buli membabitkan rakan sekolahnya.

Inkuiri itu yang memasuki hari ke-56 hari ini bermula pada 3 Sept tahun lalu selepas Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.