Pihak ketiga serah rantai kunci Zara, ‘surat privasi’ kepada pelajar

Pihak ketiga serah rantai kunci Zara, ‘surat privasi’ kepada pelajar

Peguam keluarga Allahyarham berkata saksi kanak-kanak itu memaklumkan dia simpan barangan terbabit dalam beg plastik sebelum serah kepada seorang ustazah.

Zara Qairina
Inkues kematian Zara Qairina Mahathir selesai mengambil keterangan semua saksi kanak-kanak dan akan bersambung Jumaat ini dengan seorang guru dijadualkan memberi keterangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu rantai kunci berbentuk avokado antara barang peribadi Allahyarham yang diserahkan kepada seorang saksi kanak-kanak.

Peguam Shahlan Jufri mewakili keluarga Allahyarham berkata, saksi yang dipanggil semula itu memberitahu barang itu diterimanya daripada seorang pelajar lain, bukannya bukan secara langsung daripada Zara.

“Ada seorang pelajar yang menyerahkan barang itu kepadanya (saksi kanak-kanak), namun barangan tersebut asalnya milik Zara.

“Bagaimanapun, apabila ditanya sepucuk surat yang digambarkan ‘surat privasi’, pelajar itu tidak ingat siapa yang memberinya surat tersebut atau bila ia diterima,” katanya menurut Berita Harian pada hari ke-57 inkues.

Shahlan berkata, saksi kanak-kanak itu turut memaklumkan dia menyimpan barang berkenaan dalam beg plastik sebelum menyerahkannya kepada seorang ustazah.

Menurutnya, saksi bercadang mengambil semula barang itu, tetapi ia kemudiannya diserahkan kepada polis.

Sementara itu, Ram Singh yang mewakili seorang pelajar didakwa terbabit kes buli Zara berkata, saksi terbabit memaklumkan mahkamah, dia sedih atas pemergian Allahyarham.

Inkues yang kini selesai mengambil keterangan semua saksi kanak-kanak, akan bersambung Jumaat ini dengan seorang guru dijadualkan memberi keterangan.

Ram memaklumkan ibu anak guamnya akan memberi keterangan Isnin depan.

“Kami akan menyediakan pernyataan saksi bagi mempercepatkan prosiding.”

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai 2025 selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.