
Jabatan Peguam Negara memaklumkan menerima laporan dan taklimat daripada polis dan bersetuju siasatan kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh.
“Bagaimanapun, penelitian awal mendapati masih terdapat beberapa tindakan lanjut yang perlu dilaksanakan polis bagi melengkapkan siasatan kes sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, dilaporkan berkata tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka menyerang anggotanya menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, 24 Nov lalu.
Semalam, peguam mewakili keluarga tiga individu terbabit meminta Dzulkhairi direhatkan kerana didakwa mengganggu siasatan Bukit Aman.
Rajesh Nagarajan berkata, Dzulkhairi membuat kenyataan awam mengenai kes itu walaupun Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas mengambil alih siasatan.
Beliau berkata, tindakan itu menimbulkan tanggapan siasatan masih dijalankan polis Melaka, sekali gus membangkitkan kebimbangan mengenai langkah berkecuali.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menyatakan siasatan itu mesti dijalankan secara telus.