
Kebakaran kira-kira 11.20 malam itu dipercayai bermula dari sebuah rumah yang marak dengan cepat dan merebak ke kawasan sekitar akibat struktur kediaman rapat diperbuat daripada papan dan kayu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata tiada mangsa dilaporkan terbabit atau cedera dalam kebakaran itu.
“Kebakaran membabitkan 30 rumah yang terbakar sepenuhnya, dengan anggaran keluasan keseluruhan kira-kira 0.55 hektar,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kira-kira 300 rumah berhampiran terselamat daripada turut dijilat api susulan tindakan pantas 27 anggota bersama dua jentera yang dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima pada 11.23 malam tadi.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu BBP Kunak dengan enam anggota serta Bomba Komuniti Kampung Titingan dan penduduk setempat.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 12.44 tengah malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.