
Mayat pasangan berkenaan ditemui terperangkap dalam kenderaan itu yang ditemui di dasar sungai kira-kira 60m dari lokasi kejadian berhampiran Kampung Rantau Panjang, Leban Chondong, Kuala Rompin, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Rompin, Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Mohd Zairil Bidin, 40, dan isterinya, Aisyah Shafie, 55 dari Felda Keratong 3, Bandar Tun Razak ditemui dalam kereta Perodua Myvi kira-kira 2.50 petang.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat hari kedua itu berjaya menemui kereta itu pada 11 pagi di dasar Sungai Rompin.
“Kenderaan itu berjaya dinaikkan pada 2.50 petang dengan bantuan kren sebelum mayat kedua mangsa dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat,
“Kertas siasatan kes orang hilang telah diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam itu, Mohd Zairil dan isterinya, Aisyah dilaporkan hilang selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Rompin pada kedalaman dianggarkan 10 meter.
Pihak bomba menjalankan pencarian di permukaan menggunakan bot aluminium, manakala Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan diaktifkan untuk menjalankan selaman.