3 maut termasuk 2 kanak-kanak dalam kemalangan di Bagan Datuk

3 maut termasuk 2 kanak-kanak dalam kemalangan di Bagan Datuk

Polis berkata kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki enam sekeluarga bertembung dengan sebuah lori.

kemalangan Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa yang terbabit dengan kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Tiga maut termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di KM25, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, Perak semalam.

Ketua Polis Bagan Datuk, Mohammad Ali Mohd Jali berkata kejadian kira-kira 2.30 petang itu berlaku sebuah lori dipercayai masuk laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Kia Cerato dinaiki sepasang suami isteri, tiga kanak-kanak serta seorang bayi, lapor Bernama.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pemandu kereta serta kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

Beliau berkata kejadian turut menyebabkan tiga penumpang kereta cedera parah iaitu isteri pemandu yang berusia 24 tahun, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun serta bayi berusia enam bulan itu.

Ali berkata semua mangsa yang cedera itu dirawat di Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Normah Abu Hassan melalui talian 010-5364619 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.