Kerjasama BN dengan GRS kerana ‘realiti politik’, kata Zahid

Kerjasama BN dengan GRS kerana ‘realiti politik’, kata Zahid

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata gabungan itu tidak boleh bersikap ‘kaku’ dalam menghadapi keadaan semasa.

zahid hamidi
Zahid Hamidi berkata walaupun BN dan GRS bertanding secara berasingan pada pilihan raya 29 Nov lalu, keputusan itu menuntut susunan baharu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) menyertai kerajaan Sabah pimpinan Hajiji Noor kerana ‘realiti politik’ selepas PRN, Sabtu lalu, kata pengerusinya Zahid Hamidi.

Zahid berkata walaupun BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bertanding sebagai sekutu pada pilihan raya itu, suasana politik selepas keputusan diumumkan memerlukan satu penyusunan semula.

“Kita tahu ketika itu GRS tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Mereka hanya ada 29 kerusi, manakala BN ada enam,” katanya selepas merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025 di sini, hari ini.

“Inilah realiti politik. Kita tidak boleh bersikap kaku. Perkara ini mesti diterima demi kestabilan politik di Sabah,”

Beliau mengulas mengenai peranan BN dalam kerajaan negeri yang dipimpin GRS.

Adun Sukau Jafry Ariffin daripada BN dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam pentadbiran negeri yang baharu.

Langkah itu dibuat walaupun Ketua Pemuda BN Dr Akmal Saleh, sebelum ini menggesa parti itu kekal bersama Warisan dan Perikatan Nasional sebagai pembangkang.

Akmal berkata demikian susulan prestasi terburuk BN dalam sejarah pilihan raya Sabah, apabila hanya memenangi enam daripada 45 kerusi yang ditandingi pada PRN 29 Nov lalu.

Beliau mendakwa rakyat mahu BN berada di blok pembangkang ‘untuk melihat kita berubah menjadi lebih baik’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.