Beri laluan kepada BN, Hajiji utamakan perpaduan, kata pemimpin GRS

Beri laluan kepada BN, Hajiji utamakan perpaduan, kata pemimpin GRS

John Ambrose berkata, 'keputusan bijak' pengerusi GRS cermin rasa hormat terhadap mandat terdahulu.

Hajiji Noor buktikan keikhlasan mantap kerjasama dengan BN, kata ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah John Ambrose.
PETALING JAYA:
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor membuktikan beliau mengutamakan perpaduan antara parti-parti kerajaan negeri apabila memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRK Lamag dan Kinabatangan pada Januari.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah John Ambrose menyifatkan langkah itu sebagai ‘keputusan bijak’ yang mencerminkan rasa hormat Hajiji terhadap mandat terdahulu di kedua-dua kerusi itu, sekali gus membuktikan keikhlasan beliau dalam memperkasa kerjasama politik.

“Dengan memilih untuk menyokong BN, GRS menghantar isyarat jelas bahawa perpaduan dan kerjasama lebih penting berbanding bertanding di setiap kerusi.

“Ia juga bermakna GRS menghargai usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya, lapor Borneo Post.

Pada Selasa, Hajiji berkata, GRS mungkin tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan atas dasar hormat terhadap BN.

Menurut Ambrose, fokus utama Hajiji adalah terhadap kestabilan politik pada masa akan datang, berbanding kepentingan politik buat seketika.

“Beliau sedar, apabila Sabah stabil dari segi politik, perkara lain akan menyusul. Dari sudut ekonomi, ia memberi ruang untuk Sabah terus makmur dan membina keyakinan pelabur,” katanya.

Kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan kosong susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, pada 5 Dis.

Bung mewakili Kinabatangan sejak 1999 dan memenangi penggal keenam pada PRU15 dengan majoriti 4,330 undi, menewaskan calon Warisan Mazliwati Abdul Malek Chua.

Pada PRN Sabah 29 Nov lepas, Bung mempertahankan kerusi DUN Lamag dalam persaingan enam penjuru dengan majoriti tipis 153 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.