Umno bidas kenyataan kurang ajar pemimpin DAP rai hukuman Najib

Umno bidas kenyataan kurang ajar pemimpin DAP rai hukuman Najib

Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan Yeo Bee Yin itu mungkin cetus parti terbabit perhalusi kerjasama menerusi kerajaan perpaduan.

Asyraf Wajdi Dusuki bidas hantaran Yeo Bee Yin yang keputusan tolak rayuan tahanan rumah Najib antara satu lagi ‘perkara harus diraikan pada hujung tahun.
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno membidas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Yeo Bee Yin kerana membuat hantaran disifatkan ‘kurang ajar’, mengulas keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan rumah.

Malah, Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu mungkin mencetuskan parti terbabit memperhalusi kembali kerjasama terjalin menerusi kerajaan perpaduan sejak Disember 2022.

Tegasnya, kenyataan Yeo yang menyatakan keputusan itu antara satu lagi ‘perkara harus diraikan pada hujung tahun’ disifatkan kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.

“Jika tidak mampu menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekali pun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.

“Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar Umno yang hari ini membantu membentuk kerajaan perpaduan.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk Umno memperhalusi kembali kerjasama terjalin jika masih ada pihak tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno selama ini,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Presiden Umno Zahid Hamid dalam hantarannya menulis: “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak.”

Beliau yang juga timbalan perdana menteri bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana individu.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula berkata perbezaan pandangan politik tidak menghalalkan sikap memperlekeh nilai kemanusiaan.

“Apa yang dipersoalkan hari ini bukan soal membela individu secara membuta tuli, tetapi soal adab, empati dan penghormatan terhadap proses keadilan serta institusi Raja,” katanya.

Jelasnya, ungkapan oleh Ahli Parlimen Puchong itu bukan sahaja tidak sensitif, malah mencerminkan kegagalan memahami bahawa isu keadilan dan undang-undang tidak pernah wajar diraikan sebagai kemenangan politik.

“Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan maruah individu dan institusi negara,” katanya.

Terdahulu Mahkamah Tinggi menolak rayuan Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan susulan sabitan kes SRC International melalui tahanan di rumah.

Ketika menolak permohonan semakan kehakiman Najib, Loke berkata Yang di-Pertuan Agong merupakan raja berperlembagaan dengan kuasa serta fungsi baginda dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.