
Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, tanpa perubahan strategi yang jelas serta usaha membina semula sokongan merentas kaum, sasaran tersebut sukar direalisasikan, berisiko kekal sekadar retorik politik.
Katanya, dalam realiti politik Malaysia yang berasaskan sistem pilihan raya ‘first-past-the-post’ serta demografi masyarakat majmuk, hampir mustahil untuk MCA mencapai sasaran itu jika memilih bergerak solo.
“Sokongan pengundi Cina sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan di kebanyakan kerusi Parlimen, khususnya di kawasan campuran,” katanya kepada FMT.
“Oleh itu, MCA perlu bersama dalam satu bentuk gabungan politik yang mampu menyediakan sokongan jentera, pemindahan undi dan kestabilan strategi.”
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon awal hari ini mengenai sasaran parti itu untuk memenangi semula sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen pada PRU16.
Chong sebelum ini berkata, parti itu akan memberi tumpuan kepada kawasan di mana terdapat sokongan akar umbi yang kuat, calon berwibawa, serta jentera yang baik, berbanding mengulangi strategi lampau, iaitu bertanding di banyak kerusi dengan sumber yang terhad.
Kali terakhir MCA menguasai tujuh kerusi Parlimen adalah selepas PRU2018. Jumlah itu merosot kepada dua kerusi pada 2022, iaitu Ayer Hitam disandang Presiden Wee Ka Siong, dan Tanjung Piai disandang Naib Presiden Wee Jeck Seng.
Sementara itu, Mujibu berkata, gabungan yang ingin disertai MCA tidak boleh bersifat eksklusif atau hanya diterima elit politik.
Sebaliknya, ia mesti diyakini rakyat pelbagai kaum sebagai sederhana, inklusif dan berorientasikan kepentingan nasional.
Katanya, MCA turut perlu mengambil kira beberapa faktor struktural dan strategik, termasuk memperjelas identiti serta hala tuju dasar agar tidak terus dilihat sebagai parti lama yang bergantung kepada nostalgia sejarah.
Beliau berkata, parti itu perlu tampil dengan agenda yang relevan dengan isu semasa seperti kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat bagi menarik sokongan pengundi.
Pemilihan calon yang berwibawa, berintegriti serta mempunyai hubungan akar umbi kuat juga amat penting, khususnya di kerusi marginal, selain memperkukuh jentera parti dan strategi kempen termasuk penggunaan media digital untuk mendekati pengundi muda, tambahnya.
Sementara itu, penganalisis Global Asia Consulting Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri menyifatkan sasaran MCA untuk memenangi semula tujuh kerusi Parlimen sangat bercita-cita tinggi, namun sukar dicapai dalam landskap politik semasa.
Beliau berkata, sasaran itu hanya realistik sekiranya MCA keluar daripada bayang-bayang Barisan Nasional (BN) dengan membina semula kredibiliti pada peringkat akar umbi dan menyertai gabungan politik yang diterima pelbagai kaum.
“Tanpa langkah radikal, MCA berisiko kekal sebagai parti kecil dengan dua kerusi, sekadar ‘survivor’ dalam landskap politik Malaysia yang semakin berpecah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, gabungan politik manapun disertai MCA, parti itu tetap akan berdepan cabaran lain, seperti perebutan kerusi dengan DAP jika BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), dan saingan daripada Gerakan jika bersama Perikatan Nasional (PN).