
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, keterbukaan presiden parti Shafie Apdal disifatkan langkah strategik bagi mengelakkan pecahan undi serta meningkatkan peluang kemenangan.
Penganalisis Global Asia Consulting itu berkata, Warisan mungkin terpaksa bekerjasama sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini dilihat kuasa besar dalam arena politik negara.
“Warisan mahu dapat agihan kerusi selamat untuk elak berlaku perpecahan undi. Kalau bergerak sendiri untuk PRU16 mungkin sukar,” katanya kepada FMT.
Pada Sabtu, Shafie berkata, Warisan terbuka bekerjasama dengan parti Semenanjung menjelang PRU16 walaupun menolak pakatan sedemikian pada PRN Sabah bulan lepas.
Menurut bekas ketua menteri Sabah itu, pihaknya percaya kerjasama sedemikian paling sesuai pada peringkat nasional, mengambil kira Warisan sememangnya sudah melakukannya dengan kerajaan persekutuan.
Pada PRU15, Warisan bertanding secara solo dan turut melebarkan sayap ke Semenanjung, namun percaturan itu dilihat gagal apabila hanya menang tiga kerusi, iaitu Semporna, Kota Belud dan Lahad Datu.
Parti itu bukan sahaja tewas di semua kerusi di Malaysia Barat, malah hilang lima kerusi dimenangi pada PRU14, iaitu Penampang, Sepanggar, Papar, Kalabakan dan Batu Sapi.
Warisan mencatat prestasi agak baik pada PRN Sabah 29 Nov lepas apabila menang 25 kerusi, namun masih gagal menjadi pemerintah.
Bagaimanapun, Syahruddin Awang Ahmad berpendapat, keterbukaan itu boleh menjejaskan identiti jenama Warisan sebagai parti memperjuangkan hak wilayah Sabah sekiranya tidak diurus dengan cermat.
Menurut penganalisis Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, keputusan terbabit juga berisiko mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan pengundi tegar yang mahukan autonomi penuh Sabah diperjuangkan oleh Warisan.
“Namun, melalui pendekatan keterbukaan ini, Warisan berupaya meningkatkan pengaruhnya dalam rundingan pembentukan kerajaan pusat kelak,” katanya.
Syahruddin berkata kempen ‘Sabah for Sabahan’ pada PRN lalu lebih kepada untuk memastikan pentadbiran negeri diterajui sepenuhnya entiti tempatan demi memelihara autonomi rakyat Sabah.