Donald Mojuntin janji selesai segera masalah di Moyog

Donald Mojuntin janji selesai segera masalah di Moyog

Timbalan presiden Upko mahu gerakkan penyelesaian berpandu komuniti untuk jalan raya, air dan pencegahan bencana tanpa birokrasi agensi kerajaan.

Donald Peter Mojuntin
Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin berkata hala tuju ‘Sabah First’ oleh parti itu berikan kekuatan untuk perjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963, khususnya tuntutan 40% hasil negeri. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Calon Upko bagi DUN Moyog, Donald Peter Mojuntin, berikrar untuk mengambil tindakan segera dan turun padang bagi menyelesaikan masalah di kawasannya.

Katanya, walaupun akan bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan dan negeri, beliau tidak akan membiarkan birokrasi melambatkan usahanya membantu penduduk.

“Di mana sesuai, kami akan menggerakkan penyelesaian yang berpandukan komuniti, berkos rendah tetapi berimpak tinggi, terutama untuk sistem air graviti, pembaikan jalan kecil dan pencegahan bencana.

“‘Sabah First’ bermaksud ‘Moyog First’, iaitu memperkasa keupayaan tempatan dan tidak hanya menunggu kelulusan dari jauh,” katanya kepada FMT, menjelaskan seruan keramat yang sering digunakan rakyat Sabah itu.

Timbalan presiden Upko itu berkata penyampaian yang praktikal adalah keutamaan di Moyog kerana rakyat Sabah sudah penat dengan cakap besar tetapi tidak mendatangkan hasil.

“Orang mahu air bersih yang benar-benar mengalir, jalan yang benar-benar dibaiki dan perkhidmatan yang benar-benar sampai ke kampung. Persoalannya bukan apa yang kita janji, tetapi bagaimana kita laksanakannya,” katanya.

Donald berkata hala tuju ‘Sabah First’ oleh Upko memberikan kekuatan untuk memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963, khususnya tuntutan 40% hasil negeri.

“Apabila Sabah mendapat apa yang sepatutnya, Moyog memperoleh kekuatan kewangan untuk menambah baik jalan, memperluas sistem air graviti, mengukuhkan kesalinghubungan digital dan memodenkan infrastruktur luar bandar. Wang itu mesti seiring dengan mandat,” katanya.

Beliau berkata pengundi boleh mempercayai pengalaman dan kredibilitinya, meskipun terdapat banyak pilihan dalam saingan 12 penjuru di Moyog.

“Saya akan terus berhubung dengan pengundi secara bersemuka – lawatan rumah ke rumah, perbincangan kumpulan kecil dan dialog komuniti.

“Apabila orang mendengar terus daripada saya, tanpa tapisan atau propaganda, mereka akan memahami kesungguhan niat saya dan keikhlasan komitmen saya terhadap agenda ‘Sabah First’,” katanya.

Donald menyeru pengundi menilai berdasarkan kandungan dan bukan politik, dan berkata mereka yang masih belum membuat keputusan perlu ingatkan diri bahawa pilihan raya ini adalah tentang memilih seseorang yang mempunyai pengalaman, integriti dan keberanian untuk memperjuangkan Moyog sejak hari pertama.

“Jika pengundi percaya saya orangnya, mereka akan bersama saya walaupun dalam pertandingan sengit ini, kerana mereka tahu saya berdiri teguh bersama mereka,” katanya.

Awal bulan ini, penyandang, Darell Leiking, bekas menteri persekutuan dan timbalan presiden Warisan, memberi isyarat akan memberi laluan, menjadikan kerusi itu antara medan perebutan paling kompetitif dalam PRN Sabah. Leiking memenangi kerusi itu pada PRN 2020.

Kerusi itu akan menyaksikan Donald berdepan Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin (Parti Bersatu Sabah), Remysta Taylor (PKR), Francis Mojikon (Bersatu) dan Terrence Siambun (Warisan).

Calon-calon lain ialah Mckery Victor Ninin (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat), Joe Suleiman (Parti Solidariti Tanah Airku), Cleftus Stephen Spine (Parti Impian Sabah), Richard Ronald Dompok (Parti Kebangsaan Sabah), Walter Norbert Johnny (Parti Bumi Kenyalang), serta calon bebas Peter Maurice Lidadun dan Ricky Chang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.