
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kepimpinan lemah dan konflik dalaman berlarutan dalam Umno Sabah ialah faktor utama menyebabkan kemerosotan sokongan terhadap parti itu.
Beliau merujuk “Langkah Kinabalu” pada 2023 – ketika Umno menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor – sebagai titik perubahan yang mendedahkan perpecahan dalaman dan menjejaskan kredibiliti parti.
Bilcher turut memetik pandangan bekas timbalan ketua Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan, yang menyifatkan langkah itu kesilapan strategi besar yang melemahkan imej parti dan menjejaskan kekuatan jentera akar umbi.
“Konflik timbul antara puak menyokong Allahyarham Bung Moktar Radin dan kumpulan lebih pragmatik seperti Rahman yang menekankan kepentingan bekerjasama dengan parti tempatan demi kelangsungan politik,” katanya kepada FMT.
Pada Perhimpunan Agung Umno Jumaat lalu, Setiausaha Agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan hampir 80% ahli Umno Sabah tidak mengundi parti itu dalam PRN tahun lalu.
Katanya, Umno memasuki PRN Sabah dengan penuh keyakinan memandangkan ia mempunyai lebih 622,637 ahli di negeri itu, tetapi akhirnya hanya memperoleh 144,584 undi daripada mereka.
Masalah persepsi, ahli tidak setia
Bilcher berkata, daya tarikan Umno semakin merosot selepas PRU15, apabila Barisan Nasional terpaksa bergantung kepada parti lain untuk mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan.
“Juga, wujud persepsi Umno ialah parti ‘import’ dari Semenanjung, persepsi menimbulkan dilema identiti dalam konteks Sabah, yang sekian lama memperjuangkan hak autonomi.”
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari UMS berkata, jurang besar antara jumlah ahli dan undi mencerminkan kurang kesetiaan terhadap parti, selain memiliki keahlian beberapa parti merupakan perkara biasa di Sabah.
“Mereka mungkin menyertai Warisan atau Bersatu, kemudian Gabungan Rakyat Sabah, tetapi tidak membatalkan keahlian Umno. Bagi sesetengah pihak, mereka merasakan itu hak mereka untuk mendapatkan sebanyak mungkin manfaat daripada parti yang wujud.”
Kepimpinan, naratif perlu dilaras
Dua penganalisis itu berpendapat, Umno Sabah memerlukan rombakan kepimpinan, jika mahu menghentikan penghijrahan ahli.
Lee menggesa kepimpinan Umno Sabah lebih peka terhadap isu khusus di negeri itu dan mengelak menggunakan “templat politik Semenanjung” untuk menangani cabaran.
Bilcher pula menyeru Umno melakukan penjenamaan semula naratif politiknya di Sabah, dengan lebih menekankan isu tempatan seperti pembangunan ekonomi, hak tanah adat dan autonomi pentadbiran.
“Kepimpinan negeri juga perlu diperkukuhkan dengan pemimpin mempunyai kelayakan tempatan berbanding mereka yang dilihat sebagai wakil persekutuan.”