Penganalisis beza pendapat peluang Umno menang lebih 40 kerusi bersama PN

Penganalisis beza pendapat peluang Umno menang lebih 40 kerusi bersama PN

Azmi Hassan berkata peluang Umno lebih positif bersama PN manakala Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpendapat Umno tak perlu bergantung dengan PAS.

PAU2025 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 17 Jan lalu Presiden Zahid Hamidi dedah rancangan untuk satukan parti berteraskan Melayu dan Islam menerusi konsep ‘kolaborasi agung’ atau ‘Rumah Bangsa’.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik berbeza pandangan mengenai peluang Umno dan Barisan Nasional (BN) menang lebih banyak kerusi jika parti itu meneruskan cadangan ‘kolaborasi agung’ dan ‘Rumah Bangsa’ bersama Perikatan Nasional (PN).

Azmi Hassan berkata, peluang Umno lebih positif jika bekerjasama dengan PN kerana boleh bertanding lebih banyak kawasan majoriti Melayu, manakala Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berpandangan sejarah buktikan Umno pernah menang banyak kerusi tanpa bergantung kepada PAS.

Azmi dari Akademi Nusantara berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya selepas PRU15, penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak memberi undi kepada calon Umno dan BN apabila dua gabungan itu bekerjasama.

Katanya, selepas kerjasama BN-PH usai PRU15, siri PRN dan PRK mengikut sejarah dua, tiga tahun lalu, penyokong PH dilihat tidak selesa mengundi calon Umno.

“Jadi, kalau nak dibandingkan dari segi teorinya, penyokong Bersatu dan PAS tidak akan segan silu menyokong calon Umno-BN, mengambil kira majoriti pengundinya Melayu.

“Bagaimanapun, kerjasama dengan PH mungkin lebih selesa dari sudut memudahkan agihan kerusi kerana tidak banyak pertindihan dengan Umno,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, kata Azmi, yang diperlukan Umno untuk menang adalah sokongan dari segi undi bukan berapa banyak kerusi ditandingi.

“Jadi melihat kelebihan itu (sokongan pengundi), lebih positif jika Umno bersama PN,” katanya.

Azmi berkata, jumlah kawasan majoriti Melayu yang boleh ditandingi Umno, PAS dan Bersatu di Semenanjung adalah kira-kira 115 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

“Jika ditolak Umno yang kini menang 25 kerusi dan PN 74 kerusi pada PRU lalu, masih terdapat banyak baki kerusi majoriti Melayu. Namun, jika dibandingkan dengan PH, kawasan undi majoritinya bukan Melayu adalah sekitar 50 hingga 55 kerusi di Semenanjung.

“Jadi, perkiraan untuk kerjasama Umno memang lebih baik bersama PN kerana potensi untuk bertanding lebih banyak di kawasan pengundi majoriti Melayu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, Umno berpotensi menang lebih 40 kerusi Parlimen pada PRU16 jika parti itu meneruskan cadangan ‘kolaborasi agung’ dan ‘Rumah Bangsa’ bersama PN.

Fadhli mengakui, keputusan pilihan raya bukan sekadar soal pengiraan matematik semata-mata, namun corak pengundian menunjukkan penyokong PN mampu memberikan sokongan kepada calon BN.

Pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2025, 17 Jan lalu, Presiden Zahid Hamidi mendedahkan perancangan untuk menyatukan semua parti berteraskan Melayu dan Islam di Malaysia menerusi konsep ‘kolaborasi agung’ atau ‘Rumah Bangsa’.

Sementara itu, Zaharuddin dari Global Asia Consulting berpandangan Umno tidak perlu bergantung pada PH atau PN untuk memenangi banyak kerusi, sebaliknya memerlukan reformasi dalaman, kepimpinan berwibawa dan strategi menyeluruh.

“Sejarah membuktikan Umno pernah menang jauh lebih besar tanpa PAS. Pada PRU13 Umno memperoleh 88 kerusi dan pada PRU14 pula masih mampu menang 54 kerusi walaupun BN tumbang.

“Hanya pada PRU15 Umno jatuh ke 26 kerusi akibat perpecahan dalaman, kepimpinan yang dipersoalkan dan kemunculan PN sebagai alternatif. Maka, angka 40 bukan sesuatu yang luar biasa, malah pernah dicapai sendiri oleh Umno,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut data, gabungan undi Umno-PN memang boleh menambah kerusi marginal, namun politik negara tidak statik dan kerjasama itu mungkin menguatkan sokongan di kawasan majoriti Melayu, tetapi melemahkan sokongan di kawasan campuran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.