
Asyraf berkata, Umno memasuki PRN Sabah dengan penuh keyakinan memandangkan parti itu mempunyai lebih 622,637 ahli di negeri tersebut, namun akhirnya hanya berjaya memperoleh 144,584 undi daripada mereka.
Jumlah diraih hanya mencatatkan sekitar 23%.
“Kita sering meraikan pertambahan angka keahlian parti sebagai petanda kekuatan. Tetapi, hakikat yang mesti kita terima ialah angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.
“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” katanya kepada perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno.
Umno mengalami kekalahan besar PRN Sabah ke-17 apabila hanya menang empat kerusi, manakala rakan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sekadar meraih satu kerusi.
Parti itu kehilangan beberapa kerusi tradisi dengan tokoh besar seperti bekas ketua menteri, Salleh Said Keruak, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin, dan Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir, tumpas.
Asyraf berkata, Umno Sabah berdepan tiga gelombang pembelotan besar yang secara konsisten melemahkan parti itu, bermula dengan penubuhan Warisan oleh bekas naib presiden Umno, Shafie Apdal, pada 2016.
Ini disusuli tindakan pemimpin melompat parti ke Bersatu pada 2018, dan sekali lagi pada 2023 apabila beberapa pemimpin beralih arah ke gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Setiap gelombang ini telah menghakis kekuatan Umno, memotong satu demi satu, urat nadi perjuangan Umno Sabah.,” katanya.
Asyraf berkata, trend penurunan ini tidak terhad di Sabah sahaja, malah menambah corak sama berulang pada tiga PRU lalu.
Menuju ke hadapan bagi menghadapi PRN akan datang dan PRU seterusnya, beliau berkata parti itu mesti berani berhadapan beberapa persoalan sukar.
“ Maka menjelang PRN Melaka, Johor, dan seterusnya PRU16, kita wajib bertanya dengan jujur: adakah pertambahan 46,655 ahli pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525 juta, sudah cukup untuk menjamin kemenangan?”.