
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, pengundi muda cenderung memilih ahli politik luar berbanding tokoh masih dilihat sebahagian daripada arus perdana.
“Agak sukar untuk melihat mereka sebagai kuasa ketiga yang hebat kerana mereka masih sebahagian daripada pemimpin arus perdana.
“Trend populis di seluruh dunia menunjukkan golongan muda lebih cenderung sokong ‘orang luar’ dan calon bukan konvensional yang tidak dilihat sebagai sebahagian sistem rosak,” katanya kepada FMT.
Azmil mengulas artikel FMT baru-baru ini membincangkan sama ada Khairy dan Ong boleh menjadi kuasa ketiga berdaya maju, selepas Ong mengumumkan beliau akan berehat daripada dunia akademik untuk berkempen bagi Khairy pada PRU akan datang.
Khairy dipecat Umno pada 2023 dan kini menjadi DJ radio serta pengacara audio siar, manakala Ong yang tidak bertanding pada PRU lalu kembali ke dunia akademik. Kedua-duanya kini berusia 50-an dan secara umum dianggap lebih mesra belia berbanding ramai pemimpin lebih berusia dalam Umno serta DAP.
Azmil berkata, populariti atau daya tarikan budaya saja tidak cukup untuk menangani kekecewaan mendalam anak muda yang membentuk kira-kira separuh daripada keseluruhan pengundi di Malaysia.
“Apa yang penting bagi pengundi kecewa ialah parti dan calon benar-benar memahami cabaran harian dihadapi rakyat. Mereka merasakan wujud jurang besar antara parti arus perdana dan rakyat biasa, dengan sistem hanya menguntungkan segelintir, manakala majoriti sekadar cukup makan.”
Sistem memihak parti besar
Saintis politik, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway turut memberi amaran tidak terlalu menilai kesan pilihan raya pengundi muda.
“Populariti dalam kalangan anak muda, walaupun jumlahnya ramai, tidak membantu parti baharu menembusi sistem kecuali ia mendapat sokongan luar biasa, sekitar 80% atau 90%.”
Menurutnya, walaupun sebahagian pengundi muda mungkin mencari alternatif, mereka tidak mungkin menjadi blok penentu dalam pertandingan pelbagai penjuru didominasi gabungan arus perdana kerana sistem pilihan raya “first-past-the-post” di Malaysia.
Tanpa pembaharuan institusi seperti kerusi senarai parti atau pilihan raya datuk bandar, katanya, kuasa ketiga sukar bertapak, tanpa mengira siapa tokohnya.