
Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang membangkitkan perkara itu meminta Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor mempertimbangkan tindakan diambil terhadap Sany kerana membuat sangkaan jahat terhadap Awang Hashim (PN-Pendang) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang didakwa memfitnah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Tadi (saya) dengar Hulu Langat (Sany) cakap Kota Bharu dan Pendang fitnah APMM. Saya minta petua adakah ia dibenarkan dalam mengajukan soalan,” katanya.
Ramli yang ketika itu mempengerusikan Dewan Rakyat dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan memutuskan tiada tindakan terhadap Sany kerana Fadhli tiada locus standi bercakap sebagai orang ketiga.
“Kalau yang bangkitkan tadi Pendang sendiri, jadi kemungkinan besar saya akan memberi amaran atau ‘punish’ (Sany).”
Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) turut mempersoalkan keputusan Ramli tidak mengambil tindakan terhadap Sany.
“Perkara dibangkitkan Pasir Mas tadi, timbalan speaker mempunyai hak untuk membuat ‘ruling’ (keputusan) terhadap Hulu Langat.
Terdahulu, Sany bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berhubung tindakan akan diambil kepada penceramah menyebar fitnah di masjid dan surau.
Sany kemudian memberi contoh Awang dan Takiyuddin yang membuat fitnah terhadap APMM.
Zulkifli berkata, isu penceramah menyebarkan fitnah di masjid dan surau memang dalam pemerhatian pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, tauliah penceramah yang melanggar etika tidak akan diperbaharui dan berdepan tindakan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua sekolah agama berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan supaya isu pelajar tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2025 tidak berulang.
Menurutnya, sekolah agama berdaftar akan memudahkan kerajaan menyalurkan peruntukan dan bantuan.