
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Tawau di Sabah malam tadi dan akan diteruskan di seluruh negara bagi mendesak kes tersebut disiasat hingga ke akar umbi.
Katanya, video berkenaan yang mendakwa Shamsul menerima menerima lebih RM600,000 daripada Tei adalah satu pelanggaran terhadap tatakelola.
“Walaupun setiausaha politik perdana menteri ini sudah letak jawatan tetapi ini tidak melepaskan tanggungjawab untuk beliau disiasat dan pastikan siasatan ini benar-benar dilaksanakan dengan adil,” katanya dalam satu sidang media pagi ini.
Beliau berkata laporan polit itu juga dibuat bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasa yang lain menjalankan siasatan dengan adil.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata dakwaan dalam video tersebut merupakan satu tamparan hebat terhadap usaha memerangi rasuah.
Katanya, apabila seorang pembantu politik kanan terlibat, ia memberi kesan langsung kepada imej perdana menteri.
Semalam, SPRM berkata ia akan menyiasat dakwaan Tei terhadap Shamsul. Suruhanjaya itu turut memanggil Tei dan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong ke ibu pejabatnya di Putrajaya pada 1 Dis untuk membantu siasatan.
Tei yang menjadi watak utama skandal perlombongan Sabah, sedang dibicarakan di mahkamah atas dua pertuduhan memberi rasuah.
Dalam sebuah video, dia dilihat berbual dengan seorang wanita yang didakwa Sofia, yang kononnya mendakwa bertindak sebagai proksi kepada Shamsul.
Sofia menafikan bahawa dia adalah proksi Shamsul, dan menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘palsu dan tohmahan’.
Menurut Malaysiakini, Tei mendakwa beliau telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk bagi pengubahsuaian hartanah yang dikaitkan dengannya, selain cerut premium dan sut tempahan khas, kononnya atas jaminan bahawa beliau boleh mendapatkan semula dana yang disalurkan kepada ahli politik Sabah.
Dakwaan Tei muncul tidak lama selepas Shamsul meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik perdana menteri, dengan alasan terdapat usaha menggunakan kontroversi itu untuk mencemarkan reputasinya dan imej kerajaan.