
Syahir Sulaiman (PN-Bachok) turut mendakwa LPT3 tertangguh kerana prestasi kontraktor dan kelewatan projek yang ketara. Menurutnya, isu utama di Kelantan bukan hanya jumlah peruntukan, tetapi mekanisme pelaksanaan dan ketelusan projek.
“Ini perlu diperbaiki. Semalam saya ikuti bengkel belanjawan bersama menteri besar dan exco kerajaan negeri, ada pengaduan tentang penjawatan Jurutera Jajahan (JJ JKR) yang masih kosong, sekaligus menjejaskan proses pemantauan projek persekutuan di Kelantan,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar di Dewan Rakyat.
Pada Februari, Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan dilapor memberitahu Dewan Rakyat bahawa cadangan projek pembinaan dengan anggaran kos RM9.8 bilion itu masih belum muktamad.
Menurutnya, lebuh raya bertol penuh menghubungkan Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong, Kota Bharu, Kelantan itu memerlukan penelitian mendalam, termasuk aspek kemampuan pihak konsesi.
Mengulas isu lain, Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa proses ukur bahan bagi menentukan kos sebenar kerja-kerja pemulihan Carcosa Seri Negara dibuat secara terbuka, telus dan boleh diteliti secara terperinci oleh rakyat.
Katanya, laporan tersebut mesti diterbitkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Beliau juga menggesa proses bidaan tender bagi setiap pakej kerja hendaklah dilaksanakan secara terbuka dan telus, dan keputusan tender dan syarikat yang berjaya perlu disiarkan di laman rasmi kerajaan untuk semakan awam.
“Setiap pembida mesti membuat pengisytiharan terperinci yang menunjukkan pemilikan sebenar, struktur pegangan dan aliran wang projek bagi memastikan tiada kepentingan tersembunyi atau dana politik disalurkan di bawah nama pembangunan warisan,” katanya.
Pemulihan Carcosa Seri Negara sebahagian daripada pelaburan RM600 juta oleh Khazanah Nasional Bhd, yang turut termasuk enam blok bangunan dalam Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.