
Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari, berkata justeru PAS mengecam tindakan pengosongan terhadap penduduk di kawasan berkenaan dan menyifatkannya tidak berperikemanusiaan.
“PAS memahami pada 20 Ogos lalu, pihak pemaju telah memperoleh perintah ex parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan, termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan. PAS menghormati keputusan tersebut.
“Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa, sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Okt 2025, amat tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.
Pagi tadi, berlaku kekecohan ketika operasi pengosongan 37 rumah di Kampung Sungai Baru menyebabkan tiga individu ditahan, selain Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas terkena objek di kepala.
Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengarahkan siasatan segera dijalankan.
Dalam pada itu, Fadhli berkata pemaju sepatutnya menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai.
Katanya, menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah tindakan yang zalim.
“Lebih membimbangkan, perintah Order 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat.
“Namun, penguatkuasaan hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, PAS menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan itu.
“Simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut. PAS akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terjejas,” katanya.
Perbahasan mengenai RUU PSB ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang pada Oktober, susulan bantahan Ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan, khususnya berhubung ambang persetujuan bagi projek pembangunan semula.
RUU itu yang dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu, bertujuan menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkaitan pembangunan semula kawasan bandar usang.
Boleh elak melalui rundingan
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata insiden sedemikian boleh dielak melalui perundingan, memandangkan operasi boleh ditangguhkan kerana rayuan sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Penduduk berhimpun hanyalah demi menyuarakan ketidakpuasan hati kerana isu Kampung Sungai Baru ini bukan semata-mata soal pembangunan, tetapi ia menyentuh maruah dan hak ke atas kediaman serta harta benda mereka,” katanya.
Hamzah menegaskan, isu itu tidak boleh dipandang remeh dan mesti ditangani dengan adil agar aspek kebajikan, nilai kemanusiaan serta hak asasi rakyat dilindungi dan dihormati semua pihak.