PRN Sabah: Kakak lawan adik di Kukusan

PRN Sabah: Kakak lawan adik di Kukusan

Calon BN, Chaya Sulaiman sudah bertembung dalam pilihan raya dengan adiknya Ma'mun yang mewakili Warisan sejak 2018 lagi.

Ma'mun Sulaiman and Chaya Sulaiman
Chaya Sulaiman bersama adik lelakinya Ma’mun selepas penamaan calon untuk DUN Kukusan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PRN Sabah ke-17 yang membuka tirai hari ini menyaksikan dua pertembungan melibatkan adik beradik yang mewakili parti berbeza.

Di kerusi DUN Kukusan, calon Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman akan berdepan dengan sembilan lagi calon termasuk adik lelakinya sendiri Ma’mun yang mewakili Warisan.

Ma’mun berkata mereka sudah bertembung dalam pilihan raya sejak 2018 lagi namun ia tidak pernah menjejaskan hubungan kekeluargaan dengan kakaknya itu, lapor Bernama.

“Pada PRU 2018 saya bertanding mewakili Warisan di Parlimen Kalabakan melawan calon BN ketika itu Abdul Ghapur Salleh. Ketika itu kakak saya bekerja di kem lawan (Ghapur), namun saya menang.

“Sekali lagi, pada 2022, saya bertanding mewakili Warisan untuk Parlimen Kalabakan dan berdepan persaingan dengan calon BN iaitu Andi Muhammad Suryady Bandi, dia (Chaya) bersama Andi melawan saya… tidak ada masalah, sehingga hari ini mungkin Tuhan sudah menentukan takdir kami bertembung di DUN Kukusan,” katanya.

Chaya pula berkata pertembungan politik dengan adiknya itu tidak akan menjejaskan hubungan mereka meskipun membawa ideologi politik berbeza.

“Saya membawa panji BN dan dia (Ma’mun) membawa panji partinya sendiri, pertembungan keluarga dalam pilihan raya di Parlimen Kalabakan ini bukan perkara baharu.

“Kami bertanding secara profesional, PRN ini wadah rakyat menentukan siapa yang layak mewakili mereka dan parti mana yang lebih dekat di hati rakyat,” katanya.

Ma’mun dan Chaya antara 10 calon yang bertanding di DUN Kukusan termasuk penyandangnya Rina Jainal yang sebelum ini mewakili Warisan namun bertanding sebagai Bebas selepas keluar daripada parti itu.

Sementara itu, pertembungan adik beradik turut berlaku di DUN Petagas apabila Awang Husaini Sahari yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan menentang abangnya Awang Ahmad Sah yang bertanding atas tiket Bebas.

Pada PRN kali ini, Awang Ahmad Sah yang juga penyandang kerusi Petagas bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak dicalonkan semula oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.