Istana Johor gesa tindakan terhadap akaun TikTok hina Sultan Ibrahim

Istana Johor gesa tindakan terhadap akaun TikTok hina Sultan Ibrahim

Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor mahu SKMM ambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

SULTAN IBRAHIM
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor mahu tindakan tegas terhadap akaun TikTok palsu yang menggunakan nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dengan akaun media sosial yang memuat naik kandungan bersifat fitnah dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor berkata akaun TikTok palsu berkenaan, yang menggunakan nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’, memuat naik video memaparkan gambar Sultan Ibrahim kononnya gemar memakan daging babi.

“Tuduhan itu merupakan satu penghinaan serius, berniat jahat serta amat sensitif memandangkan baginda ialah raja Melayu dan ketua negara yang beragama Islam,” menurut kenyataan.

Akaun berkenaan turut memuat naik imej memaparkan wajah Sultan Ibrahim dipadankan pada tubuh seekor haiwan, “yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab”.

“Sehubungan itu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor amat berharap SKMM akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.