Asyraf kata Tony Pua lupa adab, batas dengan Raja

Asyraf kata Tony Pua lupa adab, batas dengan Raja

Setiausaha agung Umno berkata mempersenda titah Sultan bukan kebebasan bersuara.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dangkal adab dan bersikap seperti ‘kaduk naik junjung’.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menempelak Tony Pua yang dianggap biadab susulan ulasannya mengenai titah Raja.

Asyraf berkata demikian membalas kenyataan Pua yang menyentuh kedudukan Raja Berpelembagaan, selain menekankan ‘kita tidak hidup dalam sistem di mana monarki boleh mengeluarkan titah yang mengikat bagi semua aspek kehidupan rakyat’.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu, turut menyeru semua rakyat membaca dan memahami prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekekutuan, selain menegaskan beliau setia kepada ‘Raja dan negara’ berdasarkan Perlembagaan dan bukannya titah.

Susulan itu, Asyraf dalam kenyataan di Facebook, berkata apa diperkatakan Pua sebagai ‘lupa adab dan batas’.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.

“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. Umno bersama Tuanku!” katanya.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu supaya hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.

Menurut Baginda, langkah itu penting supaya mereka menjadi rakyat yang memahami adab kesopanan dan kesusilaan selain menghormati institusi Raja.

Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

Wong dari DAP menerima kecaman selepas mencadangkan penternakan babi di Selangor dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.

Liu turut menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati supaya mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara itu. Bekas Adun Pandamaran dan Sungai Pelek itu keluar DAP pada Jun 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.