Sultan Selangor seru orang Melayu terus bersatu

Sultan Selangor seru orang Melayu terus bersatu

Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perpaduan perlu diperkukuhkan merentasi semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik dan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kedudukan bangsa dan negara.

Dalam perutusan sempena Aidiladha, baginda bertitah Hari Raya itu membawa pengajaran besar mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah, sebagaimana ditunjukkan jutaan umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.

Baginda bertitah, perpaduan perlu diperkukuhkan merentasi semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik dan rakyat.

“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin ketara dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Menurut baginda, sejarah lampau membuktikan perpecahan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.

“Beta mahu menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini,” titahnya.

Baginda bertitah, sebaliknya kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyat saling menghormati antara satu sama lain.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama terus memupuk sikap saling hormat-menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.

Sultan Sharafuddin bertitah, sejarah juga membuktikan tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni bawah pemerintahan Islam.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah mereka, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur. Selamat Hari Raya Aidiladha,” titahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.