
Katanya, isu itu mula dikesan berikutan penularan kandungan daripada akaun palsu yang kononnya berkaitan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kandungan berkenaan mengandungi kenyataan jelik melampau, palsu, mengancam, bersifat menghina dan juga melibatkan kandungan video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej yang dimanipulasi.
“Walaupun makluman dan libat urus terdahulu telah dilaksanakan, respons TikTok dalam menangani kandungan tersebut didapati tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan.
SKMM berkata, hantaran itu bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), malah undang-undang jenayah lain di negara ini.
Susulan tuntutan statutori itu, TikTok kini dikehendaki mengemukakan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan memudaratkan tersebut.
“TikTok juga diarahkan memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan mereka dengan serta-merta.
“Syarikat itu perlu memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia serta garis panduan komuniti platform mereka sendiri,”katanya.
SKMM berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang penyalahgunaan platform dalam talian yang mengancam ketenteraman awam, khususnya melibatkan sensitiviti 3R (kaum, agama, raja).
“Pemberi perkhidmatan media sosial harus bertindak secara bertanggungjawab dan pantas. SKMM akan terus mengambil tindakan kawal selia yang perlu dan setimpal, termasuk tindakan undang-undang sekiranya wajar, bagi memastikan platform digital melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Semalam, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor menggesa SKMM segera mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat dengan akaun TikTok palsu berkenaan.
Akaun tersebut menggunakan nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’, memuat naik video memaparkan gambar Sultan Ibrahim kononnya gemar memakan daging babi.