Lelaki enggan bahagi harta sepencarian RM60 juta didenda harian RM20,000

Lelaki enggan bahagi harta sepencarian RM60 juta didenda harian RM20,000

Mahkamah Tinggi memberi tempoh 30 hari kepada lelaki berusia 75 tahun itu untuk mematuhi keputusan itu atau berisiko dipenjarakan.

Mahkamah KL
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hakim Sumathi Murugiah berkata si suami telah melanggar perintah selepas perbicaraan dan perintah berbangkit tanpa keraguan munasabah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengenakan denda harian RM20,000 terhadap seorang lelaki berusia 75 tahun sehingga dia mematuhi perintah untuk membahagikan harta sepencarian secara sama rata dengan isterinya susulan berpisah secara kehakiman.

Hakim Sumathi Murugiah berkata si suami tersebut, yang dinamakan sebagai PAI telah melanggar perintah pasca perbicaraan dan perintah susulan tanpa sebarang keraguan munasabah.

Dalam keputusannya minggu lalu susulan prosiding menghina mahkamah yang dimulakan oleh si isteri berusia 73 tahun, dikenali sebagai HAI, hakim memberi tempoh 30 hari kepada si suami untuk mematuhi keputusan yang dibuat tahun lalu atau berdepan hukuman penjara.

Sementara itu, beliau mengenakan denda harian sebanyak RM20,000.

Permohonan komital itu berkaitan kegagalan suami mematuhi penghakiman yang disampaikan pada 24 Nov 2024, di mana si isteri dianugerahkan separuh daripada harta sepencarian.

Dalam afidavit yang difailkan di mahkamah tahun ini, si isteri berkata aset tersebut, sama ada dialihkan atau tidak, dianggarkan bernilai kira-kira RM60 juta.

Di bawah perintah pasca perbicaraan, kedua-dua pihak dikehendaki mendapatkan penilaian bersama terhadap harta sepencarian.

Apabila perkara itu tidak dilaksanakan, mahkamah mengeluarkan perintah susulan pada 25 Feb yang mengarahkan si suami menanggung yuran penilai.

Peguam Goh Siu Lin dan Denise Lim mewakili isteri, manakala peguam Shamesh Jeevaretnam dan Tan Zhe Yoong mewakili suami.

Pada 24 Nov tahun lalu, Hakim Evrol Mariette Peters, yang merupakan hakim perbicaraan ketika itu, memerintahkan pembahagian sama rata harta sepencarian pasangan berkenaan.

Peters, yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan, turut memerintahkan seorang wanita berusia 38 tahun, dinamakan sebagai responden bersama dalam saman itu, membayar RM200,000 kepada HAI sebagai ganti rugi atas peranannya merosakkan perkahwinan yang telah bertahan selama lima dekad.

Si suami tersebut menafikannya curang terhadap isteri dan mendakwa dia beliau mengalami disfungsi erektil.

Mereka berkahwin pada 1977 dan isteri telah membuat pengorbanan yang tidak dapat dinafikan bagi menyokong kejayaan profesional dan perniagaan suami, kata Peters.

Si isteri mendakwa bahawa pada September 2022, suaminya mengaku mempunyai hubungan sulit dengan perempuan simpanannya.

Sebulan kemudian, HAI memfailkan petisyen untuk berpisah secara kehakiman serta menuntut nafkah pasangan, selain memohon separuh nilai semua harta dialih dan tidak alih yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.