
Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menegaskan semua pihak harus ‘mendukung prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu’ yang harus dimanifestasikan dengan memberi ‘keutamaan penguasaan bahasa Melayu’.
Menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan
Dong Zong selaku sebuah pertubuhan yang dianggotai dan digerakkan oleh rakyat Malaysia demi kepentingan pendidikan umum sudah tentu sekali menjunjung setinggi-tingginya Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan setiap negeri, termasuklah Perkara 152 yang memaktubkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Penguasaan bahasa Melayu yang baik adalah tanggungjawab setiap warganegara yang bersusila. Atas semangat ini, bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib bagi semua pelajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), yang juga merupakan perkara teras dalam sukatan pelajaran atau kurikulum Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Atas penekanan ini juga, kadar kelulusan mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan pelajar SMPC juga sentiasa melebihi 96% sejak beberapa tahun kebelakangan; iaitu 97.38% pada 2022, 97.11% pada 2023 dan 96.65% pada 2024.
Memartabatkan bahasa Melayu di dalam dan luar bilik darjah
Dong Zong menyokong agar semua sistem pendidikan di Malaysia terus memperkukuh pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu selari dengan aspirasi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Ini adalah keperluan sosial yang amat penting bagi memupuk keharmonian masyarakat sejajar dengan proses pembinaan negara (nation-building).
Sehubungan itu, Dong Zong telah lama menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penganjuran pelbagai program bagi memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan mutu dan keberkesanan P&P bahasa Melayu di SMPC.
Dong Zong juga menubuhkan sebuah kumpulan kerja bersama-sama Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan graduan SMPC agar mereka dilengkapi daya saing sosial yang positif, bukan sahaja dalam masyarakat umum malah alam pekerjaan tempatan dan serantau jua.
Sebarang tohmahan bahawa bahasa Melayu dipinggirkan atau tidak mendapat keutamaan hanyalah spekulasi tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menyalahi fakta.
Kemahiran pelbagai bahasa dalam pasaran kerja yang semakin global
Malaysia adalah sebuah negara berdagang yang aktif yang mana jumlah perdagangan negara dianggarkan sebanyak 147% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022, 132% pada 2023 dan 137% pada 2024.
Sebagai anggota yang giat terlibat dalam komuniti antarabangsa, pelbagai entiti negara termasuk jentera kerajaan, komuniti pelabur, majikan dan modal insan akan mampu memainkan peranan lebih baik dengan kemahiran pelbagai bahasa (multilingualism) yang lebih meluas.
Di samping memapankan asas bahasa Melayu, penguasaan bahasa Inggeris, bahasa Cina Mandarin, bahasa Arab, bahasa Tamil dan pelbagai bahasa lain perlu lebih diperkasa bagi membangunkan bakat yang fasih pelbagai bahasa, selaras dengan keperluan pembangunan antarabangsa.
Dari segi ini, Dong Zong bukan sekadar sentiasa menyokong dasar kerajaan dalam memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat, malah kami telah memainkan peranan ini secara proaktif, khususnya dalam penguasaan bahasa Cina melalui sekolah-sekolah yang bernaung di bawah kami termasuk SMPC yang menawarkan UEC.
Kedudukan SPM dan kelebihan UEC
Perlu ditegaskan bahawa walaupun UEC sering digambarkan sebagai ‘pesaing’ kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gambaran ini adalah amat tersasar. Hakikatnya sejak 1975, UEC direkayasa sebagai sebuah sijil tamat persekolahan pada peringkat pra universiti iaitu setara dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), yang boleh digunakan untuk kemasukan ke pengajian di peringkat sarjana muda. Malah pelajar SMPC juga menyertai peperiksaan SPM.
Oleh sebab piawaian yang tinggi dalam beberapa aspek, UEC terus popular kerana pemegangnya mempunyai akses yang lebih meluas kepada peluang pendidikan, kemahiran dan kerjaya yang memerlukan penguasaan bahasa Cina pada peringkat C1 hingga C2 di bawah Kerangka Rujukan Bersama Eropah Untuk Bahasa (CEFR).
Dalam bidang pendidikan, amalan ini adalah setara dengan amalan semasa lain untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) untuk menduduki peperiksaan A-Level, pelajar ke Australia menjalani Australian Matriculation (AUSMAT), pelajar ke Timur Tengah menduduki Sijil Menengah Agama/Ugama (SMA/SMU), dan lain-lain.
Manakala pandangan sesetengah pihak berkenaan sukatan pelajaran subjek Sejarah yang berat sebelah kepada China adalah tidak berasaskan fakta. Kandungan mengenai China hanyalah sebahagian daripada pengenalan kepada peradaban dan sejarah Asia Timur, manakala kandungan mengenai Asia Tenggara terutamanya Malaysia adalah selari dengan kurikulum kebangsaan.
Pengiktirafan sedia ada UEC oleh pelbagai agensi kerajaan
Dong Zong juga bersetuju dengan cadangan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM sebagai prasyarat bagi pengiktirafan UEC, lebih-lebih lagi kerana pelajar UEC sedia menunjukkan prestasi yang baik bagi memenuhi syarat ini.
Malah bagi pengiktirafan sedia ada, syarat-syarat berikut telahpun sedia berkuatkuasa:
(i) Bagi kerajaan Sarawak, UEC sedia diiktiraf sejak 2015-2016 bagi kemasukan ke jawatan perkhidmatan awam negeri, kolej dan universiti milik kerajaan negeri, serta kelayakan bagi pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak, tertakluk kepada syarat kepujian subjek bahasa Melayu peringkat SPM.
(ii) Kerajaan Pulau Pinang pada awalnya mengiktiraf UEC bagi pengambilan di syarikat berkait kerajaan (GLC).
(iii) Bagi kerajaan Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Oktober 2015 telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi di beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) milik negeri. Syarat kelayakan kursus termasuk bahasa Melayu SPM adalah tertakluk kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
(iv) Walaupun usaha telah bermula sejak 2019, kerajaan Sabah akhirnya melalui surat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 03 Oktober 2025 telah mengiktiraf UEC sebagai kelayakan akademik rasmi bagi permohonan biasiswa negeri, kemasukan ke institusi pendidikan milik kerajaan negeri, dan pertimbangan dalam pengambilan perkhidmatan awam negeri dan agensi negeri yang berkaitan, tertakluk kepada syarat kepujian subjek bahasa Melayu peringkat SPM.
(v) Bagi Kementerian Pendidikan (KPM), pengambilan khas untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan kepujian bagi calon laluan khas UEC dan SMA/SMU telah wujud sejak 2012 (berdasarkan rekod awam), dengan syarat minimum kepujian dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta Sejarah.
UEC adalah 100% produk Malaysia
Pada 20 Februari 2025, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa institusi pendidikan vernakular di Malaysia adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Antara hujah yang dipertimbangkan dan ditegaskan ialah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak rakyat di seluruh Persekutuan untuk mempelajari, menggunakan dan mengajar bahasa-bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan.
Dakwaan bahawa penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar bagi P&P sesetengah subjek di SMPC adalah tidak berperlembagaan juga amatlah tidak tepat kerana penggunaan bahasa Melayu yang agak meluas di SMPC.
Situasi ini tidak sama dengan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah antarabangsa yang tidak pula pernah dipertikaikan.
Paling penting, tohmahan lanjut bahawa UEC adalah sebuah kelayakan dari Republik Rakyat China atau Taiwan adalah fitnah semata-mata.
Secara prinsipnya, SMPC sebagai institusi swasta mempunyai pilihan untuk mengikut amalan pelbagai sekolah antarabangsa yang menawarkan kursus-kursus asing seperti A-Level daripada United Kingdom dan AUSMAT daripada Australia.
Malah sekolah-sekolah kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menawarkan IGCSE, manakala International Baccalaureate (IB) ditawarkan di Kolej Mara Banting dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Sebaliknya, UEC dirangka berdasarkan kurikulum kebangsaan dan mematuhi piawaian pendidikan menengah antarabangsa sepenuhnya. Jawatankuasa-jawatankuasa penggubal kurikulum dan penyunting semuanya berada di Malaysia.
Sebagai warga Malaysia yang patriotik, Dong Zong memilih untuk memastikan UEC sentiasa selari dengan sukatan pelajaran kebangsaan, namun menawarkan nilai tambah yang melengkapkan sistem pendidikan kebangsaan, bukannya bersaing dengannya.
Persediaan bersama menghadapi perkembangan ekonomi global
Dengan peralihan pusat graviti ekonomi, teknologi dan inovasi dunia daripada Barat kepada Asia khususnya China, UEC menawarkan pemberdayaan yang praktikal melalui penguasaan bahasa Cina pada tahap yang cukup tinggi.
Nilai tambah seperti inilah yang menyumbang kepada pengiktirafan global terhadap UEC termasuk oleh universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (Singapura), Universiti Tokyo dan Universiti Kyoto (Jepun), Universiti Peking dan Universiti Tsinghua (China), Universiti Amsterdam dan Universiti Leiden (Belanda), Kolej Triniti Dublin dan Kolej Universiti Dublin (Ireland), Universiti Kebangsaan Taiwan (NTU, Taiwan), Universiti Toronto (Kanada), Universiti Melbourne (Australia) dan lain-lain.
Secara mudahnya, UEC berada di kedudukan yang unik untuk memperkayakan lagi sistem pendidikan negara dengan tawaran nilai tambah yang dinyatakan sebelumnya. Dengan itu juga, pengiktirafan UEC oleh kerajaan akan menjadi sebuah kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa merugikan sesiapa.
UEC mendukung aspirasi pendidikan nasional, matlamat pembangunan negara
Dong Zong sekali lagi menegaskan bahawa tuntutan pengiktirafan UEC tidak pernah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996, malah sebenarnya melengkapkannya.
Kami terus menjulang martabat bahasa Melayu selaras dengan hasrat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, malah tanpa sebarang percanggahan.
Kami ingin terus menyumbang kudrat dan mencurah bakti dalam proses pembinaan negara, bukan bukan menjadi batu penghalangnya.
Melangkaui 50 tahun UEC tahun ini, Dong Zong menyeru semua pihak agar menelusuri isu ini dengan sikap terbuka, serta mempelawa seluruh warga Malaysia untuk berganding bahu bersama-sama kami untuk memajukan lagi sistem pendidikan negara bagi menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Hanya dengan kesatuan ini dapat kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka dan berdaulat menjamin keutuhan, keharmonian dan kemakmuran Malaysia.
Tan Yew Sing adalah pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.