Anak Bung umum jadi calon BN PRK Kinabatangan

Anak Bung umum jadi calon BN PRK Kinabatangan

Naim Kurniawan dalam catatan di Facebook zahir penghargaan kepada Pengerusi BN Zahid Hamidi kerana beri kepercayaan bawa mandat parti.

Pengerusi BN Zahid Hamidi mengumumkan pencalonan Naim Kurniawan sebagai calon PRK Parlimen Kinabatangan. (Gambar Naim Kurniawan)
PETALING JAYA:
Anak kepada Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan mengumumkan dirinya dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) PRK Parlimen Kinabatangan, pada 24 Jan ini.

Naim, dalam catatan di Facebook, menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN Zahid Hamidi di atas kepercayaan dan amanah untuk mewakili gabungan itu susulan pemergian ayahnya yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

“Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi sekali gus membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan.

“Alangkah sempurnanya jika ‘moment’ ini disaksikan oleh bapa saya. Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Perkara itu disahkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan yang memaklumkan Zahid mengumumkan nama Naim pada majlis makan malam BN di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

“Diyakini beliau diterima baik oleh rakyat di sana,” katanya di Facebook.

Pada 17 Dis, media melaporkan Umno Sabah enggan mengesahkan sama ada anak Naim dalam kelompok empat nama dikenal pasti sebagai calon menjelang PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan, yang diadakan serentak.

Minggu lalu, Naim menyuarakan niat untuk tidak bertanding di DUN Lamag yang kosong susulan pemergian ayahnya, pada 5 Dis.

Beliau juga membuat syor supaya kriteria calon yang boleh dipertimbangkan antaranya berumur 50 tahun ke bawah, berpendidikan, dan setia.

Ketua Umno negeri, Jafry Ariffin, berkata beliau menghormati pandangan Naim, namun di peringkat pimpinan ada pandangan berbeza.

Sebelum ini, timbul suara akar umbi Umno Kinabatangan yang mencadangkan Naim dicalonkan di Lamag. Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan yang turut kosong, Adun Sukau Jafri Ariffin dikatakan menjadi pilihan utama.

Pada PRN Sabah 29 Nov lalu, Bung mempertahankan DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Pada PRU 2022, Bung turut mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan yang dipegangnya selama lima penggal dengan majoriti 4,330 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.