RUU Perbekalan 2026 lulus peringkat dasar

RUU Perbekalan 2026 lulus peringkat dasar

Dewan Rakyat lulus RUU Belanjawan menerusi undi belah bahagi.

dewan rakyat
Ketika undi belah bahagi di Dewan Rakyat bagi RUU Perbekalan 2026 hari ini, 120 wakil rakyat bersetuju, manakala 67 tidak setuju sementara 35 tidak hadir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 selepas selesai perbahasan peringkat dasar.

RUU diluluskan menerusi undi belah bahagi sejurus selepas Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan selesai penggulungan bagi Kementerian Kewangan.

Seramai 120 wakil rakyat bersetuju, manakala 67 tidak setuju sementara 35 tidak hadir.

Mesyuarat yang dipengerusikan Speaker Johari Abdul itu ditangguhkan sekitar 7.10 malam sebaik undian selesai.

Sesi terakhir penggulungan peringkat dasar RUU Perbekalan 2026 hari ini membabitkan enam kementerian, iaitu Kementerian Digital, Kementerian Luar, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta Kementerian Kewangan.

RUU ini dibahas pada peringkat dasar sejak 13 Okt hingga 28 Okt selepas pembentangan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 10 Okt.

Berdasarkan takwim Parlimen, perbahasan RUU itu bagi peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung selama 14 hari bermula esok.

Kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM419.2 bilion bagi Belanjawan 2026, kurang sedikit berbanding RM421 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Di sebalik perbezaan sebanyak RM2 bilion, angka belanjawan persekutuan tahun depan itu mewakili 19.7% daripada KDNK, iaitu peningkatan 1.7% berbanding belanjawan disemak tahun ini.

Ini juga kali kedua peruntukan belanjawan persekutuan melepasi paras RM400 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.