Belanjawan 2026 dirangka dengan pendekatan fiskal menyeluruh

Belanjawan 2026 dirangka dengan pendekatan fiskal menyeluruh

Pendekatan optimumkan sumber negara di bawah satu hala tuju yang koheren, sejajar dengan keutamaan negara, kata menteri kewangan II.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan Madani kekal komited menyokong momentum pertumbuhan dengan dasar fiskal yang mengembang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pendekatan fiskal bagi Belanjawan 2026 dirangka secara menyeluruh meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan persekutuan serta pelaburan katalitik oleh entiti berkaitan kerajaan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Katanya, entiti itu termasuklah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun persekutuan (BBP) dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Beliau berkata, pendekatan itu mengoptimumkan sumber negara di bawah satu hala tuju yang koheren, sejajar dengan keutamaan negara bagi memastikan impak ekonomi dan kesejahteraan rakyat berada pada tahap tertinggi.

Katanya, jumlah RM470 bilion merupakan gambaran perbelanjaan awam lebih menyeluruh kerana turut merangkumi RM50.8 bilion pelaburan awam oleh entiti seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Pengurusan Aset Air Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd.

“Perbelanjaan awam pada 2026 meningkat kepada RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada 2025,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.

“Dasar fiskal yang mengembang bertujuan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi lebih-lebih lagi dalam ketidaktentuan ekonomi global.

“Bagi keperluan kelulusan oleh Parlimen, jumlah anggaran Belanjawan 2026 ialah RM421.2 bilion meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.”

Bagi peruntukan pembangunan pula, Amir Hamzah menegaskan, kerajaan Madani kekal komited menyokong momentum pertumbuhan dengan dasar fiskal yang mengembang walaupun terdapat sebilangan Ahli Parlimen mendakwa berlaku penurunan bagi peruntukan pembangunan (DE) 2026.

“Agihan peruntukan DE untuk projek DE Asas tahun 2026 meningkat kepada RM57.6 bilion atau 71% berbanding RM55.67 bilion atau 65 peratus pada 2025,” katanya.

“DE 2026 untuk semua negeri meningkat berbanding 2025 bagi memastikan agihan yang seimbang dan terangkum. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut meluluskan projek-projek yang mengambil kira keutamaan setiap negeri.”

Beliau menjelaskan bahawa tahun pertama RMK13 lazimnya tertumpu kepada perancangan dan kelulusan projek, dengan 18.8% daripada keseluruhan peruntukan lima tahun diperuntukkan pada 2026 lebih tinggi berbanding 16.5% dalam RMK12.

Amir Hamzah berkata, dengan unjuran keluaran dalam negara kasar berkembang 4.0 hingga 4.5% tahun depan, peruntukan pembangunan yang disokong pelaburan awam oleh GLIC, BBP dan MKD berjumlah RM50.8 bilion akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Sidang akan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.