Kerajaan akan laksana pembaharuan struktur tangani inflasi perubatan

Kerajaan akan laksana pembaharuan struktur tangani inflasi perubatan

Kerajaan mahu buat pembaharuan struktur agar dapat kawal kos di masa depan.

Isu kenaikan kos inflasi perubatan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk hospital swasta dan pengguna, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan struktur untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan meningkatkan ketelusan dalam sistem perbelanjaan kesihatan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ia termasuk memperkenalkan produk asas perlindungan kesihatan mampu milik Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) menjelang akhir tahun depan.

“Ini memberi ruang untuk kita sampai hujung tahun depan untuk memperkenalkan produk MHIT asas, yang akan melebarkan penawaran yang ada dalam pasaran dan menjamin ada produk asas yang lebih baik di dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Amir berkata jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah ditubuhkan bagi melaksanakan pembaharuan itu.

Jawatankuasa itu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk industri insurans, Bank Negara, Persatuan Perubatan Malaysia dan pengamal perubatan am untuk memastikan pendekatan yang diambil adalah holistik.

“Kerajaan mahu buat pembaharuan struktur yang penting agar kita dapat mengawal kos di masa depan dengan pendekatan yang lebih baik dan melibatkan semua pihak agar penyelesaiannya mampan, bukan penyelesaian yang tampal sini, tampal sana, di sana sini,” katanya.

Menurut beliau, isu kenaikan kos inflasi perubatan adalah kompleks dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk hospital swasta dan pengguna.

Antara pembaharuan utama yang dipersetujui adalah pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis dan Rekod Perubatan Elektronik yang lebih berasaskan hasil untuk meningkatkan ketelusan serta mengekang kenaikan kos.

“Selaras dengan strategi ‘Reset’, usaha dipergiatkan bagi membangunkan produk asas perlindungan kesihatan berasaskan nilai yang dijangka dapat ditawarkan pada 2027. Ini bagi memberi perlindungan mampu milik dengan premium lebih stabil,” katanya.

Di samping itu, Amir berkata kerajaan bersetuju melebarkan liputan insurans sedia ada bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perlindungan kesihatan.

“Perlindungan insurans asas akan keluar hujung tahun depan, kita akan umumkan perlindungan insurans asas itu. Kita akan juga melihat di mana pembiayaan perlindungan asas, mungkin kita boleh melihat penggunaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” katanya.

Beliau menjelaskan pembaharuan jangka panjang amat penting untuk menangani punca sebenar inflasi perubatan, termasuk isu struktur kos hospital swasta, amalan klinikal tidak seragam dan ketelusan caj perubatan.

Beliau menambah matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan rakyat menikmati perlindungan kesihatan yang berkualiti, mampan dan berpatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.