
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata Khairy kini tidak mempunyai banyak pilihan selepas dipecat daripada Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti.
Katanya, kepulangan bekas menteri kesihatan itu juga boleh membantu menguatkan semula Umno kerana beliau masih mempunyai sokongan dalam kalangan sebahagian pengundi, terutama menjelang PRU16.
“Apa yang kita lihat, peluang Khairy untuk kembali ke Umno adalah tinggi dan beliau dijangka akan bekerjasama dengan presiden parti, Zahid Hamidi. Lebih baik beliau berada dalam Umno daripada berada di luar dan berpotensi mencabar parti secara terbuka.
“Bagi Khairy, Umno tetap pilihan paling kukuh. Contohnya sukar untuk bayangkan beliau masuk PKR. Identiti politik beliau memang Umno.
“Dan bagi Umno, Khairy masih mempunyai daya tarikan, khususnya sebagai tokoh pemimpin generasi baharu. Jadi ia masuk akal jika Umno bawa beliau kembali,” katanya kepada FMT.
Syaza menjangkakan akan wujud satu persetujuan tidak rasmi — Khairy tidak akan mencabar Zahid buat masa terdekat — sebagai syarat untuk beliau kembali.
Minggu lalu, Berita Harian melaporkan Khairy dijangka kembali ke Umno sebelum PRN Sabah 29 Nov depan selepas mendapat ‘restu’ Zahid.
Malah, beliau dikatakan berpotensi menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas pada PRU16, kerusi yang pernah dipegang oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, bapa mentua Khairy.
Khairy dan realiti politik semasa
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata Khairy sebenarnya lebih memerlukan Umno berbanding Umno memerlukan beliau, kerana usahanya di luar politik seperti audio siar Keluar Sekejap dan menjadi duta jenama tidak cukup untuk memenuhi cita-cita politiknya.
Katanya lagi, Khairy perlu bekerja keras untuk kembali diterima akar umbi Umno kerana Zahid kini mempunyai kawalan yang lebih kukuh ke atas parti berbanding ketika Khairy dipecat.
“Kalau Khairy kembali, dia perlu menyesuaikan diri dan membina semula kepercayaan ahli-ahli Umno di peringkat bawah,” katanya.
Khairy sebelum ini lantang mengkritik Zahid, terutama selepas diletakkan bertanding di kerusi Sungai Buloh dalam PRU 2022, dan kemudian mendesak Zahid meletakkan jawatan selepas kekalahan teruk Umno.
Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, Khairy memilih untuk kembali ke Umno kerana melihat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kini sedang menghadapi masalah dalaman dan kehilangan momentum.
“Khairy mungkin melihat pertarungan kuasa dalam Bersatu dan PN, jadi dia fikir lebih baik kembali ke Umno sebelum orang lain mengukuhkan kedudukan dan dia pula tercicir,” katanya.
Awang Azman juga percaya Zahid tidak mempunyai masalah menerima Khairy kembali kerana tumpuan utama presiden Umno ketika ini ialah memulihkan kekuatan parti menjelang PRU16.