
PRN Sabah pada 29 Nov ini bakal menjadi medan penting buat PAS, dengan tumpuan parti itu terarah ke DUN Karambunai – kawasan yang mungkin menentukan sama ada PAS akhirnya mampu menjejak kaki dalam politik Sabah atau terus kekal tanpa kerusi.
Karambunai bukan sekadar kerusi biasa. Ia antara lima DUN dengan jumlah pengundi tertinggi di Sabah dengan 36,094 pemilih berdaftar, menjadikan persaingan di sini bukan sahaja sengit, tetapi juga sarat simbolik politik.
PAS dijangka mempertaruhkan Ketua Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan yang juga bekas Adun dilantik.
Di media sosial, kempen Aliakbar kelihatan mendapat sambutan baik. Malah, ada penyokong mengangkat naratif beliau memiliki ciri-ciri calon ketua menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan.
Namun realitinya, sorakan di media sosial bukan penentu undi. Tidak semua menekan ‘like’ adalah pengundi Karambunai. Sebahagian besar pengikutnya datang dari Tawau, Keningau, Sandakan bahkan Semenanjung. Apatah lagi, politik Sabah sering bergerak di bawah radar – diputuskan dalam pertemuan setempat, bukan di ruangan komen Facebook.
Melihat pergerakan kepimpinan tertinggi PAS, keghairahan parti itu terhadap Karambunai jelas. Hampir setiap minggu ada pemimpin pusat turun ke lapangan. Karambunai kini menjadi ‘projek nasional’ bagi PAS di Sabah.
Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, turut turun ke Karambunai – memberi isyarat jelas kerusi ini dilihat sebagai peluang terbaik PAS mencipta sejarah.
Namun, cabaran paling besar Aliakbar bukan sahaja menentang parti lawan, tetapi sentimen kenegerian. Naratif ‘Sabah for Sabahan’ kembali berakar teguh dalam wacana politik negeri itu, mendorong pengundi menilai identiti parti sebelum manifesto.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menolak kebimbangan itu. Katanya, sentimen berunsur kenegerian bukan perkara baharu. ‘Sama seperti ‘Bangsa Johor’ dan ‘Gagasan Terengganu Kita’. Ia tidak bermaksud rakyat Sabah menolak parti Semenanjung,” katanya, seperti dipetik sebuah portal.
Menurutnya, politik Sabah bersifat terbuka sejak dahulu. “Kita yakin pengundi Sabah akan memilih PN. Walaupun presiden parti mungkin dari Semenanjung, seluruh kepimpinan PN Sabah adalah orang Sabah,” tegasnya.
Namun kenyataan itu harus ditentang dengan realiti semasa. Karambunai bukan kerusi kosong. Ia disandang Yakub Khan dari Umno dengan majoriti hanya 16 undi pada PRN lalu – menjadikan kerusi ini bukan sekadar sengit, tetapi ibarat medan perang jarak dekat.
Selain Umno yang mahu mengekalkan cengkaman, kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan sebagai parti yang membawa bendera ‘parti tempatan’ turut menjadi cabaran taktikal kepada PAS. Pertarungan di Karambunai bukan sekadar tiga atau empat penjuru – ia perebutan naratif identiti politik Sabah.
PAS bukan sahaja perlu meyakinkan ia bukan parti luar, tetapi juga perlu memecahkan persepsi bahawa undinya hanya kuat di Semenanjung dan Pantai Timur.
Kelebihan Aliakbar mungkin terletak pada profilnya yang rendah nada, tetapi dekat dengan masyarakat – satu sifat yang kadang-kala lebih berkesan di Sabah berbanding kempen megah.
Namun, kekurangan PAS ialah ia masih baharu dalam struktur jaringan komuniti dan tokoh tempatan di Sabah, berbanding Umno, GRS, Warisan yang telah lama berakar dalam hubungan setempat.
Soalnya kini, mampukah PAS memecahkan tradisi politik Sabah yang selama ini dingin terhadapnya?
Jika PAS berjaya menawan Karambunai, ia bukan sekadar kerusi pertama – ia membuka pintu kepada babak baharu PAS di Sabah.
Tetapi jika tewas, terutama di kawasan yang paling mereka pertaruh, ia mungkin menandakan parti itu masih jauh daripada denyut sebenar politik Sabah.
Karambunai kini bukan hanya medan pertandingan, tetapi penentu: PAS timbul atau terus tenggelam dalam politik Sabah.
Penulis adalah wartawan kanan FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.