
Shahrul Nizam Shaf’in, 51, yang digantung tugas sebagai ketua penolong setiausaha Bahagian Industri Pertahanan TUDM, didakwa bersubahat dengan isterinya, Citra Angrini Alam Mappiase, 36, iaitu pemilik syarikat Protective Trading & Advisory Services.
Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Menurut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Citra Angrini untuk memperdaya Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara Subang Norli Hisham Alwi, dengan mengemukakan sebut harga palsu bernilai RM24,200 di Jalan Kenyalang 11/13, Bayu Damansara, Kota Damansara, 13 Mei lalu.
Tindakan itu didakwa bertujuan memperdaya Norli untuk meluluskan D Draxis Group Sdn Bhd sebagai pembekal alat sokongan bagi penugasan LIMA 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 417, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Turut didakwa anggota bahagian perolehan TUDM Subang, Mohamad Amir Bakri Che Abdul, 32, yang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Pada prosiding itu, Citra Angrini juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim sama.
Wanita itu difahamkan sedang hamil lima bulan dan mempunyai empat anak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi. Shahrul Nizam dan Citra Angrini diwakili peguam Tunku Muhammad Sulaiman Tunku Harmy manakala Mohamad Amir tidak diwakili peguam.
Nasir menetapkan jaminan RM7,000 masing-masing kepada Shahrul Nizam dan Mohamad Amir, manakala RM8,000 terhadap Citra Angrini.
Beliau juga menetapkan 8 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes.