Bekas CEO dibebaskan daripada tuduhan CBT RM31.6 juta berkait pembelian tablet

Bekas CEO dibebaskan daripada tuduhan CBT RM31.6 juta berkait pembelian tablet

Mahkamah Sesyen memutuskan dua pertuduhan pecah amanah terhadap Her Choo Siong adalah salah dari segi undang-undang.

Her Chor Siang
Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan Her Chor Siong daripada dua pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan berhubung pembelian 20,000 unit tablet pada 2016.
SHAH ALAM:
Mahkamah Sesyen membebaskan seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat teknologi daripada dua pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung pembelian 20,000 unit tablet bernilai RM31.6 juta sembilan tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan semua elemen diperlukan bagi mewujudkan kes prima facie di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan terhadap Her Chor Siong.

Her dituduh menyalahgunakan wang berkenaan secara tidak jujur melalui urusan pembelian itu, dengan pihak pendakwaan berhujah tindakannya secara langsung menyebabkan syarikat, Cuscapi Bhd menanggung kerugian penuh.

Namun, Awang berkata tiada bukti menunjukkan Her bertindak melebihi mandat diberikan oleh lembaga pengarah syarikat dalam melaksanakan pembelian tersebut.

“Malah, beliau telah menghantar e-mel kepada pengarah untuk menjelaskan mengenai pembelian itu, kenaikan harga (yang dikenakan pembekal) dan kaedah pembiayaannya.

“Sebahagian daripada mereka turut meminta penjelasan lanjut daripada tertuduh, dan beliau telah memberi jawapan sewajarnya.

“Berdasarkan perkara itu, satu resolusi pekeliling pengarah telah ditandatangani (bagi meluluskan pembelian). Jadi di mana elemen ketidakjujuran? Tiada langsung,” katanya dalam keputusan hari ini.

Awang berkata beberapa pengarah syarikat dipanggil memberi keterangan pihak pendakwaan, namun testimoni mereka hanya bertujuan meletakkan kesalahan kepada tertuduh.

Pengarah mendakwa harga asal setiap unit ialah USD281, tetapi Her membelinya pada harga lebih tinggi iaitu USD582.

“Permainan saling menuding ini mesti dihentikan. Malah, tiada laporan kewangan dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan syarikat menanggung kerugian akibat pembelian tablet tersebut,” katanya.

Bekas CEO jadi mangsa pendakwaan dua kali

Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan Her bahawa kedua-dua pertuduhan itu salah dari segi undang-undang dan beliau telah didakwa dua kali atas urus niaga yang sama.

“Setiap orang berhak mendapat perbicaraan yang adil. Hak tertuduh untuk perbicaraan adil telah dicabuli apabila beliau didakwa atas pertuduhan yang sama dua kali. Perlembagaan Persekutuan kita melarang ‘double jeopardy’,” kata Awang.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry mewakili pendakwaan manakala peguam V Sithambaram mewakili Her.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.