
Sinar Harian melaporkan Muhammad Suhail Suttrysono, 35, Azman Mohamed Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof.
Suhail yang juga pengawal keselamatan dan Azman merupakan mekanik motosikal didakwa melakukan upacara bertentangan hukum syarak, manakala Anuar didakwa bersubahat dengan bermain alat muzik dalam upacara itu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pasar, Parit Raja, Batu Pahat antara 10 malam hingga 1 pagi 10 dan 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, iaitu kesalahan berhubung akidah: pemujaan salah dan Seksyen 43(b) bagi persubahatan.
Tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin yang juga ahli keluarga dan bermastautin di Batu Pahat.
Pembentangan fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh ditetapkan 2 Sept ini.
Terdahulu, tular video seminit menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita melakukan ritual dipercayai berkaitan kuda kepang yang diiringi paluan gong serta alunan muzik, dengan dua individu kelihatan seperti dirasuk.