Bekas isteri dipenjara 20 tahun bunuh pemandu e-panggilan

Bekas isteri dipenjara 20 tahun bunuh pemandu e-panggilan

Hakim Lim Hock Leng terima pengakuan bersalah Nurima Juli dan mensabitkannya dengan tuduhan alternatif ikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Pada 26 April tahun lepas, Nurima Juli, 35, dan adik tirinya, Sadam Kiram, 30, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berhubung kematian Nurman Bakaratu, 61, pada 13 Jan 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang wanita berusia 35 tahun kerana menyebabkan kematian bekas suaminya, yang juga pemandu e-panggilan, dengan niat dua tahun lepas.

Hakim Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Nurima Juli dan mensabitkannya dengan tuduhan alternatif mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, hukuman itu diputuskan selepas mempertimbangkan hujahan oleh peguam bela dan timbalan pendakwa raya.

Selain itu, hukuman turut dijatuhkan dengan mengambil kira objektif utama, iaitu kepentingan awam, fakta kes dan keputusan hukuman yang telah dibuat sebelum ini.

“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira tertuduh pertama mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula,” kata Lim, lapor Berita Harian.

“Mahkamah juga mengambil kira fakta yang tidak dipertikaikan bahawa tertuduh ialah pesalah kali pertama, walaupun perlu dinyatakan bahawa beliau tidak menunjukkan rasa kesal, sebaliknya cuba menjelaskan sebab-sebab beliau melakukan kesalahan yang menjadi subjek pertuduhan alternatif.

“Oleh yang demikian, mahkamah mendapati wajar untuk memerintahkan tertuduh pertama (Nurima) menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.”

Mengikut tuduhan alternatif, Nurima bersama adik tirinya, Sadam Kiram, 30, melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Batu 5 Jalan Apas antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, 13 Jan 2023.

Pada 26 April tahun lepas, kedua-dua mereka didakwa di mahkamah sama dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan.

Prosiding perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Muhammad Fakrurrazi Ahmad Salim, manakala Mark Rosaidi Mohd Amin mewakili Nurima selaku peguam, dan Sadam diwakili peguam Jhassery P Kang.

Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memohon menarik balik tuduhan asal bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Sadam, iaitu tertuduh kedua, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan dan menetapkan hukuman penjara Nurima berkuat kuasa dari 26 April 2024.

Nurima sebelum ini menjadi saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh mangsa sama membabitkan bekas ketua staf perisikan Esscom Mat Zaki Md Zain bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat membunuh Nurman.

Bagaimanapun, pada 25 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Tawau membebas dan melepaskan semua lapan tertuduh terbabit selepas pihak pendakwaan memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan berikutan pengakuan mengejut Nurima bahawa dia menikam bekas suaminya dengan gunting.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.