Timbalan KP JAS didakwa terima suapan baiki rumah lebih RM9,000

Timbalan KP JAS didakwa terima suapan baiki rumah lebih RM9,000

Norhazni Mat Sari mengaku tidak bersalah atas dakwaan terima bayaran daripada pengarah syarikat yang ada kaitan dengan urusan rasmi.

Timbalan KP JAS didakwa
Norhazni Mat Sari berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima suapan lebih RM9,000 untuk membaiki rumahnya.
SHAH ALAM:
Timbalan ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lalu.

Norhazni Mat Sari, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kertas pertuduhan, Norhazni yang bertugas sebagai timbalan ketua pengarah (pembangunan) JAS didakwa menerima manfaat berupa bayaran membaik pulih rumahnya berjumlah RM9,110 tanpa balasan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Public Bank Berhad cawangan Klang pada 25 Mei 2022.

Bayaran berkenaan dibuat Pengarah Syarikat E-Concern (Borneo) Sdn Bhd Tang Siong Hee, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh melalui pindahan dalam talian ke akaun milik Kah Yong Construction & Engineering Sdn Bhd.

Pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Mahkamah menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, yang akan didengar bersama enam kes lain.

Jumaat lalu, Norhazni didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada syarikat sama, empat tahun lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman, penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.